Tunggakan royalti minyak: Terengganu tunggu jawapan PM

Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Perasmian Sempena Sambutan 30 Tahun Penubuhan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Ahmad Samsuri ketika berucap pada Majlis Perasmian Sempena Sambutan 30 Tahun Penubuhan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Isnin depan berhubung isu tunggakan pembayaran wang royalti minyak negeri itu, tahun lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya setakat ini masih belum mengadakan perbincangan dengan kementerian terlibat berhubung isu tersebut.

"Saya tak nak beri sebarang komen sehingga menteri (Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) jawab pada hari Isnin ini.

"Jadi jawapan daripada dari pihak kementerian akan bermula pada Isnin. Sebelum saya beri apa-apa komen, saya akan tunggu jawapan dari pihak kementerian dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sempena Sambutan 30 Tahun Penubuhan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) di sini pada Khamis.

Sebuah portal media tempatan melaporkan Anwar menyatakan wang ihsan royalti petroleum tetap dinikmati rakyat Terengganu namun disalurkan secara terus menerusi projek kesejahteraan penduduk tanpa melalui kerajaan negeri semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada tahun lalu.

Sebelum itu, Ahmad Samsuri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) membangkitkan bahawa kerajaan negeri masih belum menerima anggaran RM1 bilion wang royalti minyak yang sepatutnya diterima pada 2023 daripada kerajaan persekutuan.

Pada Selasa lepas, Ahmad Samsrui meminta penjelasan daripada Anwar berhubung tunggakan pembayaran wang royalti minyak negeri itu selain menyatakan tindakan menekan rakyat Terengganu berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang menjadi antara tonggak nilai pentadbiran kerajaan Malaysia Madani.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Samsuri ketika berucap berkata, sejak penubuhan YPU telah membantu usahawan Terengganu melalui pelbagai bentuk antaranya kemudahan Pembiayaan Tanpa Faedah seramai 4,925 orang usahawan dengan jumlah keseluruhan peruntukan yang telah digunakan sebanyak RM26,561,202.

Menurutnya, lebih 2,500 orang usahawan yang telah dilatih dan dibimbing oleh pihak YPU pada setiap tahun.

"Ini menunjukkan sumbangan dan peranan besar yang telah diberikan kepada usahawan. Saya berharap agar YPU akan terus memainkan peranan lebih jauh lagi untuk meningkatkan lebih ramai pemain-pemain di kalangan usahawan tempatan untuk menyokong pembangunan perindustrian di negeri ini.

"Pihak kerajaan negeri akan sentiasa menyokong dan membantu pihak YPU dalam apa jua bentuk bantuan dan sokongan yang mampu diberikan dalam mencapai hasrat ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!