Setiap sukan ada risiko, atlet sudah maklum - Jurulatih silat

Nor Hayatudin akan memastikan semua atletnya dalam keadaan bersedia sebelum menyertai sebarang latihan dan kejohanan.
Nor Hayatudin akan memastikan semua atletnya dalam keadaan bersedia sebelum menyertai sebarang latihan dan kejohanan.
A
A
A

TAHAP keselamatan sentiasa dititikberatkan kepada semua pesilat baik semasa latihan mahupun semasa pertandingan bagi mengelakkan risiko yang boleh membahayakan.

Pembantu Ketua Jurulatih Silat Sukan Malaysia (Sukma) Kedah, Nor Hayatudin Othman berkata, setiap bidang sukan mempunyai risiko tersendiri dan atlet yang menyertainya sudahpun maklum dengan setiap risiko yang bakal dihadapi mereka.

Menurutnya, mereka bersimpati dengan kejadian atlet silat Sukma Terengganu meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai sebuah pertandingan di Negeri Sembilan pada petang Sabtu.

“Semua atlet ini termasuk pesilat itu sendiri telah dipersiapkan selama beberapa tahun sebelum terpilih menyertai kejohanan yang besar.

“Risiko dalam sukan ada tetapi aspek keselamatan sentiasa ditekankan kepada mereka semasa latihan ataupun pertandingan sebenar.

"Bagi kes atlet silat Sukma yang meninggal dunia semasa bertanding itu, sebagai orang Islam, perkara itu adalah ketentuan qada dan qadar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, pada petang Rabu.

Nor Hayatudin memantau latihan pesilat Sukma Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada petang Rabu.
Nor Hayatudin memantau latihan pesilat Sukma Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada petang Rabu.

Jelas bekas jurulatih silat kebangsaan itu, ramai yang menceburi diri sukan silat sejak usia kecil lagi kerana minat yang mendalam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ibu bapa kepada atlet terbabit juga turut sedia maklum dengan risiko tertentu termasuk mengalami kecederaan semasa sesi latihan ataupun menyertai mana-mana kejohanan.

“Kita harap kejadian yang menimpa atlet Sukma Terengganu itu tidak memberikan tanggapan negatif kepada masyarakat bahawa silat ini adalah berbahaya,” katanya yang melatih skuad silat kebangsaan bagi menghadapi Sukan Sea di Indonesia pada 2011 dan Silat Remaja Dunia Songkhla pada 2016.

Tambahnya, semua jurulatih silat juga akan memastikan atletnya dalam keadaan bersedia sebelum menyertai sebarang latihan dan juga kejohanan.

Pada Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban, Negeri Sembilan pada petang Sabtu.

Allahyarham difahamkan rebah setelah terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28