Pesilat Sukma meninggal, KBS tunggu laporan penuh Pesaka - Adam Adli

Laporan Sinar Harian. Adam Adli (kanan).
Laporan Sinar Harian. Adam Adli (kanan).
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan penuh daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengenai insiden menyebabkan Pesilat Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia, pada pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (Sukma) di Sikamat, Negeri Sembilan, Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam, Adli Abdul Halim berkata, laporan daripada Pesaka itu penting untuk mengetahui sama ada penganjur patuh kepada prosedur operasi standard pertandingan atau sebaliknya.

"Saya ucap takziah kepada keluarga atas kehilangan atlet tersebut. Kita perlu hormati perasaan keluarga dan usah menuduh sesiapa.

"Diharapkan agar sukan jadi ruang yang terus kita pelihara dan pastikan selamat dari sudut apa sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah berkata, dalam kejadian pada kira-kira jam 5 petang Sabtu, Wan Muhammad Haikal jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi Ahad dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Terengganu, kira-kira 10 malam semalam.

Susulan kejadian tersebut, Pesaka membatalkan semua kejohanan melibatkan atlet daripada 12 negeri itu bagi menghormati pemergian Allahyarham. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: