Wan Muhammad Haikal tolak tawaran ke universiti, mahu fokus Sukma - Kakak

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Pesilat Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin yang meninggal dunia awal pagi tadi, sanggup menolak beberapa tawaran menyambung pengajian ke universiti demi memberi tumpuan untuk mewakili Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) 2024.

Kakak Allahyarham, Wan Nor Haslinda berkata, tahun lepas adiknya menerima tawaran daripada beberapa universiti awam, namun anak keempat daripada lima beradik itu berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas Sukma.

"Dia (Allahyarham) memang bersemangat hendak masuk Sukma kerana tahun ini tahun terakhir dia boleh mewakili Terengganu (ke Sukma) kerana usianya telah 21 tahun. Namun apakan daya cita-citanya itu tidak tercapai,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Wan Nor Haslinda berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Wan Muhammad Haikal yang dikenali sebagai seorang yang pendiam itu adalah pada awal Februari lepas ketika Allahyarham berkunjung ke rumahnya di Kuala Terengganu.

Jenazah Wan Muhammad Haikal dijangka tiba di Terengganu lewat petang ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Alur Selising di Jerteh selepas solat Isyak.

Wan Muhammad Haikal meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri ketika pertandingan prapemilihan Sukma petang semalam.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata, atlet tersebut jatuh di gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights di Sikamat, Seremban.

Sementara itu, kerajaan Terengganu merakamkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian Allahyarham yang disifatkan sebagai atlet berbakat dan berpotensi besar.

Artikel Berkaitan:

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata, arwah merupakan atlet sasaran pingat Sukma yang akan bertanding dalam kategori Putra l (85-90 kilogram).

Beliau berkata, laporan kematian Wan Muhammad Haikal telah diterima pagi tadi dan pihaknya sedang menunggu laporan kronologi kes secara terperinci.

"Dalam rekod Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), ini ialah kes pertama berlaku dalam aktiviti sukan silat dan ia pastinya mengejutkan semua pihak.

"Pihak MSNT akan memperhalusi insiden ini dengan terperinci dan menyeluruh. Tindakan susulan akan diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishamuddin berkata, urusan membawa jenazah Allahyarham dari Negeri Sembilan ke Besut, serta kebajikan keluarga akan diuruskan oleh MSNT. - Bernama

Aminuddin ucap takziah kepada keluarga pesilat Terengganu

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengucapkan takziah kepada keluarga Wan Muhammad Haikal yang meninggal dunia, awal pagi Ahad.

Aminuddin dalam hantaran di Facebooknya turut mendoakan supaya dosa Allahyarham Wan Muhammad Haikal, 21, diampunkan dan diberikan rahmat.

"Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Wan Muhammad Haikal, atlet Silat Sukma Terengganu yang kembali ke Rahmatullah pada 3 Mac 2024 bersamaan 21 Syaaban 1445H.

"Beliau meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Sikamat, di sini.

"Wan Muhammad disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban," tulisnya.

Sebelum itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad yang mewakili Aminuddin sempat bertemu dengan abang Allahyarham iaitu Wan Muhammad Hafiz Wan Hussin di Jabatan Perubatan Forensik HTJ, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Beliau menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebelum van yang membawa jenazah bergerak ke Kampung Alur Selising, Jertih, Terengganu untuk pengebumian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28