MSNT tanggung kos pengurusan jenazah pesilat Sukma

Laporan Sinar Harian. Shahrizal (kanan).
Laporan Sinar Harian. Shahrizal (kanan).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menanggung kos pengurusan jenazah atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) negeri itu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Silat Pra-Sukma Negeri Sembilan 2024 di Seremban pada Sabtu.

Pengarahnya, Shahrizal Yahya memaklumkan pihaknya turut memberi bantuan segera melibatkan pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada keluarga Allahyarham.

"Semua atlet di bawah MSN turut dilindungi insurans. Setakat ini tidak pernah berlaku kes seperti ini terjadi pada atlet kita.

"Jadi mengenai pampasan itu, kita akan berbincang bersama pihak berkaitan (pihak insurans) berhubung jumlah pampasan diberikan kepada keluarga arwah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Atlet silat Sukma Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban pada petang Sabtu.

Allahyarham difahamkan rebah setelah terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Mengulas lanjut, Shahrizal menyatakan pihaknya kini menunggu hasil siasatan dan laporan lengkap daripada pihak pengurusan berhubung kejadian terbabit sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

"Apa dimaklumkan kepada saya bahawa berlaku kesilapan teknikal. Jadi kita minta supaya jurulatih dan pihak pengurusan untuk buat laporan penuh berhubung punca kejadian yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita perlu tunggu dahulu hasil siasatan kes ini dan setelah diteliti baharulah kita akan melakukan tindakan selanjutnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrizal menyatakan semua atlet yang mewakili Terengganu telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan ujian kecergasan sebelum bertanding dalam sesuatu pertandingan.

"Semua atlet yang pergi wakil negeri adalah sihat. Cuma untuk kes ini, berlaku kesilapan teknikal semasa bertanding.

"Kita memang adakan ujian kecergasan pada atlet-atlet untuk uji tahap kesihatan dan keadaan semasa mereka setiap kali sebelum bertanding.

"Jadi kita minta tiada mana-mana pihak yang menimbulkan spekulasi bahawa atlet yang mewakili negeri tidak melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum bertanding sesuatu pertandingan," jelasnya.

Shahrizal juga turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga arwah Wan Muhammad Haikal dan mendoakan segala pengurusan dan pengebumian jenazah berjalan dengan baik.

"Difahamkan jenazah arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alur Selising, Jertih selepas solat Isyak," ujarnya.