Bangkai helikopter berjaya dibawa keluar dari perairan Pulau Angsa

Bangkai helikopter AW139 milik Maritim Malaysia berjaya dibawa keluar dari perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada Rabu.
Bangkai helikopter AW139 milik Maritim Malaysia berjaya dibawa keluar dari perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor berjaya dibawa naik pada Rabu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, operasi itu dilakukan dengan bantuan pihak syarikat penyelenggaraan pesawat udara agensi itu kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, pesawat berkenaan kemudiannya dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

"Sementara itu empat kru yang terlibat dalam insiden berkenaan dilaporkan stabil dan selamat.

"Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak agensi semalam (Selasa)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hamid
Hamid

Tambah Hamid, pihaknya turut memohon agar kesemua kru terbabit diberikan ruang dan tidak diganggu oleh mana-mana pihak bagi menstabilkan keadaan setelah melalui insiden tersebut.

Mengulas mengenai helikopter AW139 nombor pendaftaran M72-01 itu, beliau berkata, ia merupakan salah satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia yang telah diterima daripada kerajaan pada 2010.

Artikel Berkaitan:

"AW139 telah mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbangan selain telah melaksanakan pelbagai misi penerbangan seperti Op Naga, Op Kuda Laut, Op Pagar Laut, Op Benteng, Op Jangkar Haram, Op Patkor Optima, Op Redback dan lain-lain operasi penguatkuasaan.

"Selain itu, pesawat berkenaan juga terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) yang dikoordinasikan Maritim Malaysia," katanya.

Bangkai helikopter AW139 milik Maritim Malaysia dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.
Bangkai helikopter AW139 milik Maritim Malaysia dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada jam 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, antara pencapaian AW139 M72-01 sepanjang melakukan tugasannya ialah pesawat berkenaan berjaya menyelamatkan lima pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di barat laut Pantai Remis, Jeram pada 2022.

"AW139 M72-01 juga merupakan pesawat yang sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (Star Team) bagi melakukan force boarding dan terbaharu ialah kejayaan dalam membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) bagi menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia pada tahun lalu," ujarnya.

Kata Hamid, sepanjang 14 tahun perkhidmatan AW139 M72-01 bersama Maritim Malaysia, pesawat berkenaan turut terlibat dengan beberapa siri pemindahan perubatan (Medevac) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!