Pendaratan cemas elak keadaan lebih mudarat - Pakar penerbangan

Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff
Laporan Sinar Harian pada Selasa. Gambar kecil: Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff
A
A
A

SHAH ALAM - Terdapat beberapa faktor yang mendorong pendaratan cemas dilakukan juruterbang termasuk di kawasan laut.

Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, lazimnya ia berlaku apabila kemungkinan situasi itu tidak dapat diatasi dalam masa terdekat dan perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan lebih memudaratkan.

Menurutnya, dalam situasi itu, perkara pertama yang dilakukan juruterbang ialah cuba mengatasi masalah yang sedang dihadapi mengikut prosedur yang ada.

“Pada masa yang sama, pembantu juruterbang perlu menghubungi pihak kawalan trafik udara untuk memaklumkan kecemasan yang dialami.

“Ketiganya, mereka akan mencari kawasan lapang untuk lakukan pendaratan. Dalam kes ini, ia jauh daripada bot-bot nelayan dan kapal-kapal dagang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sebuah helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas berhampiran Pulau Angsa, Kuala Selangor.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kejadian tersebut melibatkan helikopter dengan pendaftaran M72-01, berlaku kira-kira jam 9.55 pagi.

Helikopter berkenaan dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia yang sedang melakukan latihan menyelamat ketika kejadian.

Artikel Berkaitan:

Ditanya tentang banyak kemalangan yang berlaku membabitkan helikopter jenis yang sama, Abdul Rahmat berkata, kerosakan tetap boleh berlaku ke atas mana-mana kenderaan, sama ada kereta mahupun pesawat walaupun penyelenggaraan dilakukan dengan baik.

“Walaupun pesawat agak berusia, namun boleh dioperasikan dengan baik jika penyelenggaraan dan peralatan adalah baik.

“Ini semua terpulang kepada hasil siasatan oleh lembaga siasatan Maritim Malaysia dan pihak pembuat helikopter tersebut untuk kita ketahui langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28