[VIDEO] 'Helikopter berpusing-pusing sebelum jatuh dalam laut' - Saksi

A
A
A


KUALA SELANGOR - "Saya hanya mampu berdoa agar kesemua yang berada dalam helikopter itu selamat".

Demikian kata saksi yang melihat kejadian melibatkan sebuah helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas dekat perairan Pulau Angsa di sini pada Selasa.

Mohd Ridhuan Kulop Ahmad, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika dia bersama tujuh rakannya yang lain memancing sekitar lokasi kejadian.

"Masa itu memang dah nampak helikopter berkenaan terbang rendah, kalau ikutkan tekong yang bawa bot kami tu, kawasan terbabit memang sering dijadikan lokasi latihan.

"Tiba-tiba kami melihat helikopter berkenaan berpusing-pusing sebelum terjatuh ke dalam laut, memang kejadian berlaku sangat pantas ketika itu," katanya menerusi video yang dikongsikan kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Ridhuan berkata, dia dan rakannya tidak sempat berbuat apa-apa, namun hanya berdoa agar kru dalam helikopter terbabit selamat.

"Kami mahu dekati tapi keadaan sekitar kawasan kejadian dah ada tumpahan minyak, masa tu juga ada dua buah bot lain datang dan minta jangan pergi dekat atas faktor keselamatan.

"Hati saya lega kerana mengetahui semua yang terlibat itu selamat, syukur kerana tiada sebarang kejadian buruk berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tangkap layar video memaparkan helikopter milik Maritim Malaysia melakukan pendaratan cemas di dalam laut dekat Pulau Angsa pada Selasa. Mohd Ridhuan.
Tangkap layar video memaparkan helikopter milik Maritim Malaysia melakukan pendaratan cemas di dalam laut dekat Pulau Angsa pada Selasa. Mohd Ridhuan.

Rakannya, Mohd Fitri Junaidi, 43, berkata, dia dan rakannya yang melihat kejadian itu terus melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Saya dan rakan memang terkejut, maklumlah pertama kali berhadapan situasi sedemikian.

"Kami terus menghubungi pihak berkuasa melaporkan berkaitan kejadian dan memang boleh dikatakan agak cepat kerja menyelamat dijalankan," katanya.

Pada Selasa, sebuah helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terpaksa melakukan pendaratan cemas dalam kejadian di perairan Pulau Angsa dekat sini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kejadian melibatkan helikopter dengan pendaftaran M72-01 itu berlaku kira-kira jam 9.55 pagi.

Beliau berkata, helikopter berkenaan dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia sedang melakukan latihan menyelamat sebelum melakukan pendaratan cemas ketika kejadian.

Kesemua kru yang terlibat dalam kejadian dilaporkan selamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!