Larangan orang ramai dekati lokasi helikopter terhempas

Polis membantu dari sudut kelancaran operasi menaikkan bangkai helikopter yang terhempas dekat perairan Pulau Angsa di sini pada Selasa.
Polis membantu dari sudut kelancaran operasi menaikkan bangkai helikopter yang terhempas dekat perairan Pulau Angsa di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Orang ramai dilarang mendekati sekitar kawasan berhampiran lokasi helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas dekat perairan Pulau Angsa di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, kawalan keselamatan dilaksanakan pihak polis di sekitar lokasi kejadian.

"Kawalan keselamatan dijalankan berikutan terdapat kesan akibat minyak daripada helikopter terbabit.

"Orang awam dilarang untuk mendekati lokasi kejadian untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, polis menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.30 pagi.

Pihak polis menjalankan kawalan keselamatan di lokasi helikopter milik Maritim Malaysia terhempas dekat perairan Pulau Angsa di sini pada Selasa.
Pihak polis menjalankan kawalan keselamatan di lokasi helikopter milik Maritim Malaysia terhempas dekat perairan Pulau Angsa di sini pada Selasa.

"Polis telah menggerakkan bantuan daripada Pasukan Polis Marin dan kejadian turut dimaklumkan kepada Unit Udara Polis untuk tindakan susulan.

"Operasi kini tertumpu untuk menaikkan bangkai helikopter berkenaan dan ia dijalankan oleh Maritim Malaysia, dan polis akan membantu dari sudut kelancaran operasi dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, sebuah helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terhempas dalam kejadian di perairan Pulau Angsa dekat sini pada Selasa.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kejadian melibatkan helikopter dengan pendaftaran M72-01 itu berlaku kira-kira jam 9.55 pagi.

Beliau berkata, helikopter berkenaan dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia sedang melakukan latihan menyelamat ketika kejadian.

Kesemua kru yang terlibat dalam kejadian dilaporkan selamat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28