Bangkai helikopter Maritim Malaysia dijangka dibawa keluar petang ini

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bangkai helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa di sini pagi Selasa dijangka dibawa keluar dari lokasi kejadian lewat petang ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd Ambia Nordin berkata, sehingga itu, polis melakukan pengawasan bagi memastikan keselamatan di sekitar lokasi kejadian.

"Saya telah ke lokasi kejadian dan kita menugaskan lapan anggota polis membantu Maritim Malaysia membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

"Kawalan keselamatan dibuat bertujuan mencegah orang awam daripada menghampiri lokasi kerana bangkai pesawat masih berada di sana dan di lokasi juga terdapat tumpahan minyak," katanya kepada pemberita di Jeti Pasir Penambang selepas meninjau lokasi insiden.

Terdahulu, Maritim Malaysia mengesahkan helikopter jenis AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam 9.55 pagi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria turut disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: