Helikopter terhempas, empat pegawai Maritim Malaysia selamat

Empat anggota Maritim Malaysia dilaporkan selamat selepas helikopter jenis AW 139 dinaiki terhempas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada Selasa.
Empat anggota Maritim Malaysia dilaporkan selamat selepas helikopter jenis AW 139 dinaiki terhempas di perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Tindakan pantas pemancing yang terus melaporkan kejadian melibatkan sebuah helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terhempas membantu menyelamatkan empat anggota dan pegawai yang terlibat dalam kejadian di perairan Pulau Angsa dekat sini pada Selasa.

Difahamkan beberapa pemancing berkenaan turut membantu memberi bantuan awal kepada kru terlibat dalam kejadian terbabit.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kejadian melibatkan helikopter dengan pendaftaran M72-01 itu berlaku kira-kira jam 9.55 pagi.

"Helikopter berkenaan dinaiki empat anggota dan pegawai Maritim Malaysia sedang melakukan latihan menyelamat ketika kejadian berlaku.

"Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Selangor Subang.
Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Selangor Subang.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) kemudiannya telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10:15 pagi.

"Helikopter yang mendarat cemas itu diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, turut bersama dalam helikopter terbabit adalah seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim," katanya.

Menurutnya, dua buah aset Maritim Malaysia bersama bantuan aset beberapa agensi lain telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot Pengawal 25 dari Maritim Malaysia Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

"Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke Stesen Udara Maritim Selangor Subang," katanya.

Tambahnya, sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru terlibat.

"Selain itu,10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan Kapal Maritim Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

"Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud memaklumkan kesemua mangsa telah diselamatkan oleh helikopter penyelamat dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah jam 10.58 pagi.

"CAAM mengesahkan helikopter model M72-01 itu telah terhempas di perairan berkenaan ketika dalam latihan penerbangan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, helikopter berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor jam 9.10 pagi dan hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada 9.20 pagi.

Bagaimanapun katanya, tiada panggilan kecemasan diterima.

"Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi helikopter," katanya.

Tambah beliau, insiden itu akan disiasat oleh Lembaga Siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28