Pesara rugi RM179,490 diperdaya penyamar pegawai kanan polis

Mangsa berusia 73 tahun yang menyedari dirinya ditipu kemudian tampil membuat laporan polis. - Foto hiasan.
Mangsa berusia 73 tahun yang menyedari dirinya ditipu kemudian tampil membuat laporan polis. - Foto hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara bimbang dengan dakwaan kononnya terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan pengedaran dadah, seorang pesara kerugian RM179,490 selepas diperdaya dua individu menyamar sebagai pegawai kanan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 73 tahun itu pada mulanya dihubungi dua individu memperkenalkan diri kononnya pegawai kanan polis.

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah sebelum mengarahkannya menyerahkan kad bank, wang tunai serta barangan kemas kononnya bagi tujuan siasatan.

"Bimbang dengan dakwaan itu, mangsa kemudian bertemu dengan individu terbabit di sebuah apartmen di Sri Petaling pada 8 September lalu sebelum menyerahkan kad bank, wang tunai dan barangan kemas.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM179,490 membabitkan wang tunai, pembelian emas dan pemindahan wang ke tiga akaun pihak ketiga," katanya pada Ahad.

Menurutnya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian tampil membuat laporan polis.

Katanya, pihak polis sedang menjalankan semakan dengan syarikat telekomunikasi selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan," katanya.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!