Iran laksana hukuman mati tertinggi sejak 2015

Kerajaan Iran didakwa menggunakan hukuman mati untuk menyebarkan ketakutan terhadap masyarakat di negara itu.(Gambar hiasan) Foto Agensi
Kerajaan Iran didakwa menggunakan hukuman mati untuk menyebarkan ketakutan terhadap masyarakat di negara itu.(Gambar hiasan) Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Iran didakwa telah melaksanakan hukuman mati secara mengejut ke atas sekurang-kurangnya 834 orang, tahun lalu - jumlah tertinggi sejak tahun 2015.

Hak Asasi Manusia Iran (IHR) berkata, ia adalah kali kedua dalam tempoh dua dekad yang mana lebih 800 hukuman mati direkodkan dalam setahun selepas 972 hukuman mati pada 2015.

Kumpulan hak asasi itu menuduh kerajaan Iran menggunakan hukuman mati untuk menyebarkan ketakutan terhadap masyarakat susulan protes yang dicetuskan akibat kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis.

"Menyemai ketakutan masyarakat adalah satu-satunya cara rejim memegang kuasa dan hukuman mati adalah instrumen terpentingnya," kata Pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam dalam laporannya yang menggambarkan angka 834 sebagai 'jumlah mengejutkan'.

Pengarah ECPM, Raphael Chenuil-Hazan pula menambah; "Terdapat instrumentalisasi hukuman mati di Iran oleh rejim untuk melawan protes."

Iran membunuh sembilan lelaki dalam kes yang dikaitkan dengan serangan ke atas pasukan keselamatan ketika protes pada 2022, menurut IHR.

Terdapat juga peningkatan dalam hukuman mati atas tuduhan lain terutamanya dalam kes berkaitan dadah yang sebelum ini mengalami penurunan.

"Kebimbangan khusus ialah peningkatan dramatik dalam jumlah hukuman mati berkaitan dadah pada 2023, yang meningkat kepada 471 orang, 18 kali lebih tinggi daripada angka yang dicatatkan pada 2020," kata laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya 167 ahli minoriti Baluch dihukum bunuh secara keseluruhan, menyumbang 20 peratus daripada jumlah hukuman mati tahun lalu sekalipun etnik itu hanya menyumbang sekitar lima peratus penduduk Iran.

Kebanyakan hukuman gantung di Iran dilakukan dalam penjara, namun laporan itu mengatakan bahawa pada 2023 jumlah hukuman gantung yang dilakukan di khalayak ramai di Iran meningkat tiga kali ganda daripada 2022, dengan tujuh orang digantung di tempat awam.

Sekurang-kurangnya 22 wanita dihukum bunuh, menandakan jumlah tertinggi dalam dekad yang lalu. Seramai 15 daripada mereka dihukum gantung atas tuduhan membunuh.

Pada 2023, hanya 15 peratus daripada hukuman mati yang direkodkan diumumkan oleh media rasmi Iran. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!