Saifuddin akan bertemu kerajaan Kelantan isu pangkalan haram

Laporan khas Sinar Harian pada 26 Februari lalu mengenai tinjauan di sekitar Sungai Golok.
Laporan khas Sinar Harian pada 26 Februari lalu mengenai tinjauan di sekitar Sungai Golok.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu menghapuskan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.

Menurut Saifuddin, beliau telah mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa keselamatan sempadan dua minggu lalu.

"Telah dibuat pembentangan oleh agensi perisikan keselamatan, bukan sahaja mereka bentangkan tentang permasalahan dan ancaman, mereka juga cadangkan jalan keluar antaranya kewujudan pangkalan haram terutama di kawasan sempadan utara negara kita dengan negara jiran iaitu Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Diangkat syor supaya kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) buat satu usaha bersama untuk lupuskan dahulu pangkalan haram," katanya kepada pemberita dalam majlis ringkas di kediamannya di sini pada Isnin.

Saifuddin berkata, beliau dalam masa terdekat ini akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan negeri terlibat kerana isu keselamatan adalah isu kepentingan bersama.

"Saya akan mulakan cadangan ini untuk berada di Kelantan dahulu sebab kewujudan pangkalan haram ini juga ada di sepanjang Sungai Golok, di sebelah kita.

"Itu antara tujuan pertemuan saya nanti dengan kerajaan negeri iaitu menteri besar (Kelantan). Saya belum utus apa-apa surat lagi," ujarnya.

Tambahnya, perkara itu akan dibentangkan berdasarkan maklumat yang ada.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian di Rantau Panjang, Kelantan mendapati terdapat pergerakan ulang-alik bot di pangkalan haram di sekitar Sungai Golok. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tinjauan Sinar Harian di Rantau Panjang, Kelantan mendapati terdapat pergerakan ulang-alik bot di pangkalan haram di sekitar Sungai Golok. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Jadi, kita akan bentangkan sebab maklumat ada pada kita, di mana kerajaan negeri boleh bantu terutama dari segi kalau pangkalan itu didirikan di rizab JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) umpamanya atau pun tanah milik kerajaan negeri dan bidang kuasa PBT.

"Saya akan kongsikan keadaan itu dan akhir sekali bahawa melupuskan pangkalan haram adalah pra syarat bagi membendung gejala penyeludupan. Kita ke arah itu," katanya.

Mengulas mengenai adakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan negara jiran berhubung tindakan terbabit, Saifuddin menjelaskan, pihaknya dengan negara jiran memang wujud perjanjian kerjasama keselamatan sempadan.

"Memang sentiasa wujud, jadi keutamaan sekarang adalah menyelesaikan bahagian kita dahulu tapi kita tak boleh selesaikan secara satu pihak dan kerana itu kerjasama negara sahabat diperlukan," ujarnya.

Pada 12 Februari lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan tiga tangkapan transporter dari 'Geng Bob' dan modus operandinya yang menjadikan terminal bas di Kota Bharu sebagai lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI).

Laporan khas Sinar Harian pada 27 Februari lalu mengenai tindakan imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan PATI.
Laporan khas Sinar Harian pada 27 Februari lalu mengenai tindakan imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan PATI.

Berikutan itu, Sinar Harian telah melakukan beberapa siri tinjauan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan membabitkan lokasi pangkalan haram yang dikesan mudah membawa masuk atau keluar penumpang sama ada tempatan atau Thailand.

Susulan itu, Sinar Harian dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di sebuah rumah penampungan di Demit, Kota Bharu, pada 21 Februari lalu, yang membawa tangkapan penjaga rumah, transporter dan PATI.

Siri kedua operasi pada 24 Februari, kemudian turut membawa tangkapan dua lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Ali dan Rahim di sekitar Kota Bharu yang menjadi dalang utama sindiket PATI.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28