KDN bincang hapus pangkalan haram

Laporan khas Sinar Harian baru-baru ini mengenai isu pencerobohan ke sempadan negara.
Laporan khas Sinar Harian baru-baru ini mengenai isu pencerobohan ke sempadan negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membincangkan langkah bagi menghapuskan kemudahan logistik haram termasuk pangkalan haram di sempadan negara yang berisiko menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa keselamatan sempadan, baru-baru ini.

Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin Nasution Ismail.

"Ia melibatkan kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebab pangkalan haram itu terletaknya di tanah kuasa kerajaan negeri dan rizab sungai serta ada elemen pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Mesyuarat yang saya pengerusikan minggu lepas itu antara cadangan ke arah banteras perkara itu adalah dengan menghapuskan semua bentuk kemudahan logistik yang haram," katanya ketika sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kawalan barisan hadapan ini dilakukan 24 jam untuk semua aset darat mahu pun laut.

Kata Saifuddin, oleh sebab itu pihaknya berjaya melakukan tangkapan.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Sinar Harian di Rantau Panjang, Kelantan mendapati terdapat pergerakan keluar masuk menggunakan bot melalui Sungai Golok di beberapa pangkalan haram di kawasan terbabit. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tinjauan Sinar Harian di Rantau Panjang, Kelantan mendapati terdapat pergerakan keluar masuk menggunakan bot melalui Sungai Golok di beberapa pangkalan haram di kawasan terbabit. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Ini bukan hanya tumpu di sempadan Kelantan, tapi di kawasan Selat Melaka. Tugas hakiki KDN bukan hanya tumpu satu satu-satu 'point' sahaja.

"Jawapan saya, tanggungjawab menjaga sempadan negara daripada bolos sebarang anasir yang mengancam keselamatan itu adalah tugasan 24 jam kita," ujarnya.

12 Februari lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan tiga tangkapan transporter dari 'Geng Bob' dan modus operandinya yang menjadikan terminal bas di Kota Bharu sebagai lokasi transit PATI.

Tinjauan Sinar Harian di Pengkalan Kubor, Kelantan mendapati terdapat pergerakan keluar masuk menggunakan bot bagi menyeberangi ke Tak Bai, Thailand di beberapa pangkalan haram di kawasan terbabit. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tinjauan Sinar Harian di Pengkalan Kubor, Kelantan mendapati terdapat pergerakan keluar masuk menggunakan bot bagi menyeberangi ke Tak Bai, Thailand di beberapa pangkalan haram di kawasan terbabit. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Berikutan itu, Sinar Harian telah melakukan beberapa siri tinjauan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan membabitkan lokasi pangkalan haram yang dikesan mudah membawa masuk atau keluar penumpang sama ada tempatan atau Thailand.

Itu sekali gus merisikokan negara dengan aktiviti penyeludupan termasuk PATI atas faktor jarak Sungai Golok yang dekat.

Susulan itu, Sinar Harian dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di sebuah rumah penampungan di Demit, Kota Bharu, pada 21 Februari lalu, yang membawa tangkapan penjaga rumah, transporter dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Siri kedua operasi pada 24 Februari, kemudian turut membawa tangkapan dua lelaki etnik Rohingya di sekitar Kota Bharu yang menjadi dalang utama sindiket PATI.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28