PBT Selangor tiada kuasa tangkap PATI

Suee Lim menjawab pertanyaan pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa sidang DUN Selangor pada Isnin.
Suee Lim menjawab pertanyaan pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semasa sidang DUN Selangor pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) sebaliknya ia di bawah tanggungjawab Jabatan Imigresen Malaysia.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, PBT hanya boleh mengambil tindakan terhadap premis-premis perniagaan yang melanggar syarat lesen perniagaan.

"Antara kesalahan itu seperti menyewa lesen perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen sah atau pun mengambil pekerja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Sekiranya didapati terdapat peniaga yang menjual atau menyewakan permit atau premis perniagaan serta menggajikan warga asing di gerai, tindakan penyitaan barangan jualan akan diambil dan lesen perniagaan tersebut akan dibatalkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Isnin.

Terdahulu, ADUN Paya Jaras, Dr Ab Halim Tamuri memohon kerajaan negeri melaksanakan operasi berikutan terdapat kebanjiran warga asing di DUN berkenaan.

Suee Lim memberitahu, selain itu, peniaga pasar yang didapati bersalah memberi pinjaman lesen kepada warga asing pula boleh dikenakan tindakan kompaun dan lesen perniagaan tersebut akan dibatalkan.

"Ini adalah selaras dengan pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan bilangan 1 tahun 2020 iaitu garis panduan dasar aktiviti penjaja dan peniaga kecil di negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 19 Jun 2020," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga akan memperhalusi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu ahli majlis PBT dianggotai 50 peratus golongan profesional.

Katanya, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh supaya kelangsungan perkhidmatan di pihak PBT dapat diperkemaskan.

"Kita akan ambil maklum dan teliti dengan sewajarnya dari semasa ke semasa bagi memastikan segala cadangan yang baik untuk perkasa PBT ini dapat dilaksanakan.

"Lantikan ahli majlis PBT merangkumi 50 peratus daripada ahli profesional membawa pelbagai reaksi dan manfaat selain PBT akan mendapat pandangan dan juga kepakaran," kata beliau.

Beliau memberitahu, ahli majlis PBT merupakan wakil kepada kerajaan negeri dalam menyampaikan dasar dan inisiatif serta program komuniti setempat.

"Ahli majlis bertanggungjawab untuk mewakili kepentingan komuniti dalam kawasan PBT bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan di sesebuah kawasan terpelihara," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28