Beban kerja banyak, elaun ahli majlis PBT Selangor wajar naik

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Elaun ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor wajar dinaikkan berikutan bebanan kerja yang banyak selain melayan pelbagai aduan dan karenah rakyat.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Sulaiman Abu Samah berkata, ahli majlis MPS telah menghantar surat permohonan kenaikan elaun daripada RM2,500 kepada RM5,000.

Sulaiman
Sulaiman

Menurutnya, kenaikan itu wajar susulan mereka mengerah tenaga, wang ringgit serta berkhidmat tanpa mengira masa.

"Kami kerja siang malam ketika hujan, ribut dan panas. Semuanya perlu pengorbanan tenaga, masa dan wang ringgit.

"Kami berharap agar kerajaan Selangor dapat mempertimbangkan permohonan demi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Selangor adalah yang terbaik," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim bahawa kerajaan Selangor akan meneliti kesesuaian cadangan menaikkan elaun ahli majlis PBT di negeri itu.

Suee Lim semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis memberitahu, pelaksanaan cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu dan ia bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Tambah Suee Lim, kerajaan negeri akan pertimbangkan cadangan itu dari semasa ke semasa.

Kamarul Hisham
Kamarul Hisham

Sementara itu, bagi ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Kamarul Hisham Yeop Hashim pula, pihaknya turut menyokong cadangan kenaikan tersebut susulan kadar sama telah digunakan sejak beliau menyandang jawatan tersebut pada 2018.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi dengan kelulusan kenaikan elaun berkenaan susulan cadangan sama pernah didengar lebih tiga kali, namun tiada berita gembira diterima sehingga kini.

"Isu ini pernah dibincangkan sebelum ini, memang ada keperluan cadangan tersebut dipertimbangkan kerana jawatan ahli majlis bukan sekadar hadir mesyuarat tetapi menjadi perantara antara PBT dengan penduduk.

"Disebabkan itu, kami perlu banyak turun padang dan mengatasi aduan penduduk bagi membantu PBT," katanya.

Beliau menambah, kedudukan kewangan MBSJ dilihat mampu menampung cadangan kenaikan elaun kepada ahli majlis.

"Elaun di Pulau Pinang boleh dinaikkan kepada RM4,000, namun kami di Selangor berstatus bandar raya dan perbandaran tetapi hanya menerima elaun RM2,500 sedangkan kami bekerja tidak tentu masa, ada kala lewat malam dan awal pagi.

"Kadang kala kami keluar duit poket sendiri kerana tak sampai hati melihat aduan penduduk yang berbagai datang kepada kami," katanya.

Mohamed Radziff
Mohamed Radziff

Sementara ahli majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Mohamed Radziff Hasn berkata, kenaikan elaun tersebut diyakini dapat membantu menambah mutu perkhidmatan dalam komuniti.

"Elaun semasa terhad, sedikit sebanyak mengekang gerak kerja yang mahu dilaksanakan.

"Walaupun diberikan peruntukan namun banyak juga kos lain yang terpaksa ditanggung seperti sumbangan kematian dan aduan lain.

"Pada pandangan saya wajar kadar elaun dipertimbangkan kerana status negeri maju dan kawasan perkhidmatan yang luas," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan orang ramai mendapati penduduk tidak menolak cadangan kenaikan elaun tersebut dipertimbangkan namun perlu selari dengan prestasi ahli majlis di satu-satu kawasan.

Muhammad
Muhammad

Mahasiswa, Muhammad Anuar, 20, berkata, dia kurang peka dengan peranan ahli majis, namun menyokong sebarang usaha yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Jawatan ahli majlis ini kurang menonjol dan jika kenaikan elaun itu dapat membantu meningkatkan prestasi kerja mereka, sebagai rakyat saya tiada halangan cadangan tersebut dipertimbangkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Rosli
Rosli

Seorang kerani, Rosli Hashim, 53, berkata, kenaikan tersebut perlu mengambil kira kedudukan kewangan negeri dan tidak membebankan rakyat.

"Sebagai rakyat, saya tiada halangan jika tujuan kenaikan elaun ini digunakan bagi membantu rakyat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

"Namun, kenaikan elaun perlu ambil kira prestasi semasa kerajaan negeri. Jangan kerana mahu naikkan elaun tetapi rakyat dibebankan dengan kenaikan caj bagi menampung kewangan tersebut.