2,239 premis diperiksa, 66 notis dikeluarkan selepas empat hari Op Kesan

Fuziah Salleh ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
Fuziah Salleh ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa 2,239 premis perniagaan dan mengeluarkan 66 notis dalam Op Kesan 2024 bermula 1 Mac lepas, bagi memantau kesan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, kesemua peniaga yang menerima notis itu perlu memberikan maklum balas dalam tempoh empat hari kepada kementerian bagi memastikan tiada berlaku kenaikan yang tidak munasabah.

"Selepas tempoh empat hari itu kalau kita tengok betul-betul ada kenaikan yang tidak munasabah, kita akan minta (tambahan) lagi empat hari untuk mendapatkan maklumat lebih lajut, terperinci kerana KPDN ada punca kuasa untuk kira setiap kos dan nilai itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin tahu perkembangan Op Kesan dan usaha yang dapat mengurangkan kebimbangan rakyat kesan kenaikan kadar SST.

Sebelum ini Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Op Kesan yang digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 memberi fokus kepada pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan peniaga pada semua peringkat tidak mengambil kesempatan mencatut atau menaikkan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai jumlah peniaga yang dikenakan tindakan di bawah AKHAP pada 2023, Fuziah berkata, 5,904 kes direkodkan dengan nilai kompaun dan denda melebihi RM1.46 juta.

Bagi soalan tambahan Jalaluddin sama ada hotel, restoran, bazar Ramadan dan festival makanan turut dipantau di bawah AKHAP, beliau berkata kesemua jenis perniagaan itu turut dikawal dan sebarang aduan berkenaan aktiviti pencatutan boleh dilaporkan bagi tindakan lanjut. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: