Peningkatan kes rogol bawah umur: Saifuddin bidas Ahli Parlimen Sik

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan peningkatan kes rogol bawah umur didorong oleh kelemahan dan kegagalan undang-undang sivil.

Beliau berkata, ucapan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa jenayah itu berpunca daripada kegagalan undang-undang sedia ada kerana enakmen syariah tidak dilaksanakan adalah tidak benar.

"Kanun Jenayah Syariah ini dibuat di Kelantan tetapi Kelantan antara kes paling tinggi di Malaysia.

"Di Kelantan kes meningkat, di Kedah dan Terengganu meningkat, Pulau Pinang menurun, saya bandingkan data tahun 2022 dengan 2023," bidas beliau menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kenyataan Ahmad Tarmizi itu hanyalah memetik sebahagian taklimat yang diberi oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada beliau.

"Saya sebut dari segi angka. Angka tidak menipu.

"Kes di Kelantan antara yang paling tinggi dan (penduduk) negeri itu adalah 98 peratus Melayu Islam," jelasnya.

Saifuddin berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelaku jenayah rogol bawah umur terdiri daripada 70 peratus golongan B40.

Artikel Berkaitan:

"Bagi setiap 100 pelaku, 70 peratus adalah kelompok B40.

"Maksudnya apa? Ia dilakukan oleh golongan status ekonominya rendah.

"Bagi kelompok M40 pula adalah 24 peratus bagi 100 pelaku manakala pecahan mengikut kaum pula menunjukkan 67 peratus pelaku jenayah berkenaan adalah Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rakaman ucapan Ahmad Tarmizi yang tular di media sosial.

Jelas Saifuddin, sekarang bukan masa untuk menunjukkan kelompongan dan salah itu ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama untuk mengatasi jenayah tersebut.

"Jadi saya hendak nasihat kepada MP Sik tak payah nak ambil satu atau dua segmen secara terpisah.

"Marilah kita ambil tanggungjawab ini secara bersama kerana ini adalah masalah dalam masyarakat kita.

"Penyakit ini tidak terhenti dengan menyebut bahawa tidak melaksanakan kanun jenayah syariah inilah kesannya," ujar beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28