PATI digesa rebut peluang Program Repatriasi Migran

Saifuddin (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Jumaat.
Saifuddin (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri di sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pendatang asing tanpa izin (PATI) digesa merebut peluang untuk pulang ke negara asal dengan pengecualian pendakwaan di mahkamah melalui Program Repatriasi Migran yang bermula 1 Mac sehingga 31 Disember depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PATI yang hadir menyerah diri ke mana-mana pejabat Imigresen hanya dikenakan kompaun RM500.

"Selepas membayar kompaun berkenaan, mereka boleh meninggalkan negara ini tanpa dikenakan tindakan," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, program berkenaan itu sekali gus mengurangkan jumlah keberadaan PATI di Malaysia, di samping mengimbangi elemen keselamatan serta menjana pulangan kepada negara.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 848 PATI telah berdaftar menerusi program ini," jelas beliau.

Ujar Saifuddin, pendaftaran dan pelaksanaan Program Repatriasi Migran dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) tanpa melibatkan pihak ketiga.

"Jika ada yang mahu menggunakan perkhidmatan ejen, lupakan sahaja kerana program ini tidak akan melayan sebarang permohonan dari pihak ketiga atau mana-mana ejen," katanya.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) merupakan inisiatif kerajaan memberi peluang kepada warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak mempunyai pas sah berada di negara ini untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor kritikal.

Artikel Berkaitan:

Program Repatriasi Migran pula dilaksanakan bertujuan untuk membenarkan PATI meninggalkan negara ini secara sukarela.

Sementara itu pada perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata baki kuota penggajian pekerja asing sektor formal yang masih aktif dan telah dibayar levi tetapi masih belum diterbitkan Visa Dengan Rujukan (VDR) pada 31 Mac bagi PRTK akan dibatalkan.

Beliau berkata, bayaran levi kuota tersebut akan dikembalikan kepada majikan.

"Tarikh akhir kemasukan pekerja asing sektor formal yang baharu dengan VDR adalah pada 31 Mei dan tiada lagi kemasukan pekerja asing formal dari kuota yang aktif dibenarkan bermula 1 Jun ini," katanya.

Menurutnya, majikan yang terkait digesa mempercepatkan kemasukan pekerja asing dengan memastikan pematuhan terhadap syarat dan undang-undang perburuhan yang ditetapkan.

Dalam pada itu beliau berkata, KDN melaksanakan dasar pemulangan levi lebih mesra majikan dan industri yang turut berkuat kuasa pada 1 Mac.

"Tempoh masa pemprosesan pulangan balik levi dikurangkan dari 53 kepada 28 hari bagi permohonan di peringkat kelulusan Ketua Pengarah Imigresen manakala permohonan di peringkat kelulusan Ketua Setiausaha KDN pula dari 77 hari ke 38 hari," katanya.

Selain itu ujar beliau, majikan juga dibenarkan untuk membuat tuntutan pulangan balik bayaran levi pekerja asing selepas enam bulan sah laku Surat Kelulusan Bersyarat dengan keseluruhan baki kuota pekerja asing diserahkan kepada kerajaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28