[VIDEO] Bekas ADUN Tronoh, Paul Yong kekal bersalah rogol amah

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hukuman penjara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berkait kes merogol pembantu rumahnya, dikurangkan daripada 13 kepada lapan tahun, oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, panel tiga hakim yang diketuai Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail mengekalkan hukuman dua sebatan ke atas Paul, 54.

Ia susulan mahkamah mengekalkan sabitan bersalah dengan keputusan majoriti 2-1, daripada Hadhariah dan Hakim, Datuk Azman Abdullah.

Dua hakim ini menolak rayuan Paul selaku perayu bagi mengetepikan sabitan terhadapnya, sementara Hakim, Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti itu.

Paul Yong kekal bersalah berkait kes merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu, oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat.
Paul Yong kekal bersalah berkait kes merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu, oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Ketika membaca keputusan penghakiman majoriti, Azman berpendapat bahawa, hakim mahkamah tinggi tidak tersilap dalam keputusannya ketika mensabitkan perayu.

Menurutnya, hakim itu juga mendapati mangsa merupakan seorang saksi yang boleh dipercayai.

Artikel Berkaitan:

“Hakim perbicaraan mendapati, perayu mempunyai peluang merogol mangsa ketika bersendirian di rumah, iaitu selepas isterinya keluar ke sebuah restoran antara 30 minit.

“Oleh itu, mahkamah berpendapat kemungkinan kejadian rogol itu boleh berlaku, malah tiada keterangan menunjukkan rumah itu (lokasi kejadian) dipecah masuk, atau mangsa membuat hubungan seksual dengan lelaki lain,” katanya.

Berdasarkan fakta beliau berkata, selaput dara yang baru terkoyak dan melecet pada faraj, ialah disebabkan oleh perayu, seperti yang didakwa mangsa.

Azman berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan perayu, bahawa siasatan kes ini tidak lengkap sebaliknya ia memuaskan dan perayu tidak diprejudiskan.

Susulan itu, keputusan majoriti mendapati, tiada merit dalam rayuan berkenaan dan sabitan terhadap perayu adalah selamat.

Sementara itu, semasa membaca keputusan menentang, Komathy berkata, selepas isteri perayu pulang ke rumah, mangsa dilaporkan berkelakuan mencurigakan, seolah-olah tiada kejadian rogol telah berlaku.

Menurutnya, versi kenyataan mangsa juga tidak konsisten iaitu antara mengalami gangguan seksual atau dilayan buruk oleh majikan (perayu).

“Selain itu, tiada bukti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengaitkan perayu dengan kesalahan itu, malah kecederaan yang dialami mangsa juga tidak konsisten dengan fakta.

“Susulan itu, percanggahan dalam keterangannya sudah memadai untuk menimbulkan keraguan yang jelas dalam kes pendakwaan,” katanya.

Ketika ditemui selepas prosiding, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul berkata, pihak pembelaan menghormati keputusan mahkamah namun akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

“Kami menghormati keputusan majoriti dan pada masa yang sama, terdapat perbezaan pendapat yang kuat yang diberikan oleh Hakim Komathy.

“Perkara ini akan dibawa ke mahkamah tertinggi, di mana semua isu akan dibincangkan semula,” katanya.

Dalam prosiding ini, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz.

Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Paul bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik rumahnya di daerah tersebut, antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Susulan itu, dia yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Wahab ketika membacakan penghakimannya berkata, pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata dan suatu pengiraan bersifat pemikiran.

Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Paul menyatakan bahawa dakwaan rogol tersebut adalah satu konspirasi politik bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kelebihan tiga undi.

Turut dipanggil sebagai saksi pembelaan ialah isterinya, Too Choon Looi dan bapa saudara mangsa.

Paul dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 dan diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember 2021.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.

Perbicaraan kes telah bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Pada 1 Disember tahun lalu, Hisyam dimaklumkan akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan bekas Paul terhadap sabitan, hukuman itu bersama peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir dalam rayuan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28