Hisyam Teh ketuai pasukan pembelaan bekas ADUN Tronoh

Hisyam Teh - Foto Bernama
Hisyam Teh - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam kanan, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong terhadap sabitan, hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan rotan kerana merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Sumber mengesahkan kepada Bernama bahawa Hisyam akan mengetuai pasukan pembelaan bersama peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir dalam rayuan itu.

Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Januari 2024 bagi pendengaran rayuan Paul.

Kes Paul juga ditetapkan pada Selasa (5 Disember) di hadapan Mahkamah Rayuan untuk pendengaran permohonan bagi memasukkan alasan tambahan kepada petisyen rayuannya.

Pada 27 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Paul, 53, diberi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan Paul diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Paul dalam keterangannya menafikan beliau merogol mangsa.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Paul iaitu kejadian rogol itu tidak berlaku adalah tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan pemikiran semula. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Harapkan pagar, pagar makan padi'

[VIDEO] Paul Yong didapati bersalah rogol pembantu rumah