Kes rogol: Paul Yong dibenar tambah alasan petisyen rayuan

Paul Yong
Paul Yong
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa membenarkan permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong untuk memasukkan tiga alasan tambahan dalam petisyen rayuannya bagi mengetepikan sabitan atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Paul Yong.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Paul Yong, ketika dihubungi Bernama berkata, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya kerana tiada bantahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini.

Paul Yong turut diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir.

Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Jan tahun depan untuk mendengar rayuan Paul Yong.

Antara alasan yang Paul Yong ingin masukkan dalam petisyen rayuannya ialah beliau telah dinafikan perbicaraan yang adil kerana Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah yang digunakan oleh hakim Mahkamah Tinggi tidak berperlembagaan dan prosiding di Mahkamah Tinggi telah melanggar keadilan semula jadi yang menyebabkan berlakunya kesilapan.

Pada 27 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman terhadap Paul Yong ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed, dalam keputusannya, berkata mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan difikirkan kemudian. - Bernama.

Artikel Berkaitan: