Keputusan rayuan sabitan Paul Yong rogol amah 1 Mac

Paul Yong
Paul Yong
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta dua sebatan berkait kes merogol pembantu rumahnya, lima tahun lalu ditetapkan Mahkamah Rayuan di sini pada 1 Mac depan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim, Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam bagi pihak Paul Yong selaku perayu manakala pendakwa raya sebagai responden.

Semasa prosiding yang turut didengar oleh Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk S M Komathy, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik menghujahkan, hakim Mahkamah Tinggi (Hakim Bicara) terkhilaf apabila menggunapakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa.

Menurutnya, perkara itu tidak wajar kerana sejak awal lagi identiti mangsa telah didedahkan dalam kertas pertuduhan.

"Tiada keperluan untuk menguatkuasakan Seksyen 265 kerana tiada bukti yang menunjukkan mangsa berada dalam bahaya ekoran berada di bawah jagaan Kedutaan Indonesia selepas melarikan diri daripada rumah perayu.

“Anak guam saya telah diprejudiskan dan sudah menjadi hak seseorang tertuduh untuk melihat wajah mangsa tanpa sebarang halangan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Fuad Abdul Aziz berkata, sudah menjadi lumrah, mangsa rogol memberi keterangan di mahkamah tanpa bersemuka dengan mana-mana pihak kecuali hakim yang mendengar perbicaraan.

Katanya, terdapat mangsa rogol yang berada dalam keadaan trauma, takut dan bergetar sekiranya berdepan dengan pelakunya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, meskipun pihak pembelaan tidak dapat melihat wajah mangsa namun mereka masih boleh menyoal balasnya.

"Pihak lain tidak dapat melihat tingkah laku, mimik muka atas keadaan mangsa ketika memberi keterangan, namun hakim bicara dapat melihatnya.

“Penilaian yang dibuat oleh hakim bicara telah mengambil kira segala fakta termasuk tingkah laku mangsa," katanya.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun dalam bilik di rumahnya di Ipoh, Perak antara jam 8.15 dan 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman terhadap Paul Yong ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed, dalam keputusannya, berkata, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Paul Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan difikirkan kemudian.