Kenyataan Abdul Hadi libatkan Raja-Raja Melayu tidak beretika, demi kepentingan politik

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mujibu Abd Muis, Dr Azmi Hassan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Mujibu Abd Muis, Dr Azmi Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam tulisan beliau bertajuk 'Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan' pada 20 Februari lepas yang antaranya ditujukan kepada Raja-Raja Melayu disifatkan sebagai tidak beretika dan demi kepentingan politik.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, dalam kenyataan yang turut menyentuh kepentingan kaum Melayu dan Islam serta Perlembagaan Persekutuan itu, Abdul Hadi sekadar mahu memperlihatkan seolah-olah hanya parti beliau memperjuang perkara berkenaan.

"Inilah dia, memperjuang sesuatu yang sebenarnya tiada isu pun tapi diperjuang juga secara konsep kepartian untuk laba politik walhal sejak dari merdeka lagi, sudah jelas termaktub di dalam Perlembagaan soal Islam itu tidak boleh diganggu-gugat.

"Malah usaha memartabatkan syiar Islam, memperkasakan semua institusi berkaitan agama Islam itu sering dilakukan Raja-Raja Melayu termasuklah selepas penubuhan MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia)," katanya pada Khamis.

Sebelum itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office pada Khamis menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan sinis Ahli Parlimen Marang itu.

Sultan Sharafuddin bertitah ia adalah kenyataan yang amat tidak bersesuaian malah tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, kenyataan Abdul Hadi bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana tokoh politik itu pernah melakukan perkara serupa kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Dulu dia buat juga, (tetap beri ceramah) biarpun ketika itu Sultan Mizan dukacita, titah larang mereka yang tiada tauliah agama untuk beri ceramah di masjid-masjid di bawah seliaan kerajaan negeri Terengganu, dia langgar juga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Senada dengan Mujibu ialah Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata, beliau berpandangan Abdul Hadi masih mengekalkan naratif penceritaan berteraskan perkauman serta agama seperti pada beberapa siri pilihan raya lepas demi meraih sokongan orang Melayu.

"Tidak mengejutkan, benda lazim... saya tidak nampak di mana logik fikirannya, beliau sebagai orang lama juga dipanggil ulama, untuk kali ini keluar kenyataan yang kaitkan dengan Raja-Raja Melayu.

"Jadi kenyataan beliau itu amat mengecewakan walhal tahu kedudukan Raja-Raja Melayu itu menjaga kepentingan semua orang Islam tanpa kira warna politik, Perlembagaan Persekutuan juga lindung kemas agama Islam, jadi usah kaitkan kepentingan politik PAS dengan institusi monarki kita," katanya.

Azmi juga berkata, jika Abdul Hadi mempunyai sebarang cadangan mahupun masalah berkaitan hal ehwal agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan, adalah lebih baik beliau menyuarakannya di platform Dewan Rakyat atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen.

Bagi pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kedah, Dr Jazimin Zakaria, tindakan Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan yang mengheret Raja-Raja Melayu ke kancah politik amat tidak sesuai.

"Kedudukan Raja-Raja Melayu ini sensitif, suhu politik kita pula ketika ini kurang baik, jadi bagi kenyataan di platform berkenaan (laman sesawang Berita Pas menerusi kolum Minda Presiden Pas) hanya akan buka ruang kepada orang lain untuk kritik kedudukan istimewa Raja-Raja," katanya. - Bernama