Tiada pegawai SPRM hubungi Wan Saiful - Azam Baki

Azam ketika ditemui media selepas perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di sebuah hotel pada Khamis.
Azam ketika ditemui media selepas perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di sebuah hotel pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan tidak ada mana-mana pegawainya yang menghubungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung pendedahan ajakan menyokong Perdana Menteri.

Bagaimanapun Azam tidak menafikan kemungkinan ada individu yang mendakwa anggota SPRM dan bertindak menghubungi Wan Saiful.

"Saya telah menyemak dengan pegawai saya, tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau (Wan Saiful). Mungkin sesiapa pun boleh menghubungi beliau dan mengatakan beliau adalah anggota SPRM.

"Namun demikian, paling penting adalah Wan Saiful sepatutnya datang ke SPRM untuk membuat laporan," katanya kepada petugas media selepas perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 pada Khamis.

Pada Rabu, Wan Saiful mendakwa telah dihubungi pegawai SPRM berikutan pendedahannya di Dewan Rakyat mengenai ajakan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej daripada pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuh,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook.

Terdahulu ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Wan Saiful mendakwa telah dihubungi oleh beberapa individu yang memujuknya supaya menyokong Anwar .

Dakwanya lagi, sebagai balasan sokongan kepada Perdana Menteri, beliau ditawarkan peruntukan Parlimen sebanyak RM1.7 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azam berkata, apabila seseorang itu ditawarkan sogokan atau rasuah, mereka perlu datang ke balai polis terdekat atau pejabat SPRM untuk membuat laporan.

"Dalam hal ini, adalah lebih baik beliau (Wan Saiful) datang membuat laporan kerana beliau telah menyebutnya di Parlimen.

"Ini bukan satu bentuk spekulasi tetapi apabila beliau telah menyebut perkara ini di dewan yang mulia, jadi adalah menjadi tanggungjawab beliau sebagai salah seorang pembuat undang-undang di negara ini untuk tampil ke hadapan.

"Kami nak tahu juga apa butiran-butiran lanjut yang disebutkan melalui perbualan telefon dengan orang itu. Itu penting kerana tugas kami adalah untuk menyiasat secara tulus," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28