'Kalau mereka hendak kerja, kenapa tidak bantu'

Langkah kerajaan memperluas dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan warga emas dan bekas banduan membantu menambah baik tahap ekonomi golongan berkenaan.(Gambar hiasan) Foto 123rf
Langkah kerajaan memperluas dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan warga emas dan bekas banduan membantu menambah baik tahap ekonomi golongan berkenaan.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

ALOR SETAR - Langkah kerajaan memperluas dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada golongan warga emas dan bekas banduan membantu menambah baik tahap ekonomi golongan berkenaan.

Syarikat penternakan, pemprosesan dan pengedaran, Urusan Bismi Empire Sdn Bhd (Ayam Bismi) antara yang menyambut usaha itu menyifatkan golongan terbabit mampu menjalankan tugas dengan baik dan mempunyai pengalaman luas yang boleh memberi manfaat kepada syarikat.

Pengarah Urusan Ayam Bismi, Mazlina Kamarudin berkata, tidak salah mengambil golongan warga emas dan bekas banduan untuk bekerja kerana langkah itu menunjukkan kesungguhan mereka dalam mencari rezeki yang halal di samping membantu mereka memperbaik kualiti hidup.

"Kalau mereka hendak kerja, kenapa tidak bantu. Kadang-kadang ambil orang biasa tetapi mereka ‘banyak main’, tetapi golongan ini memang betul-betul mahu bekerja dan hasil yang diberikan jauh lebih baik daripada orang biasa yang malas.

"Tetapi, mungkin kerajaan boleh bagi insentif khas untuk bantu golongan ini supaya mereka tidak mengambil kesempatan dan bekerja sambil lewa. Setakat ini, empat warga emas bekerja dengan kami dan saya menyokong inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk membantu dua golongan itu,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang bekas banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Amin, 38, dari Alor Setar berkata, dia memahami kesusahan yang dihadapi oleh bekas-bekas banduan dalam mencari pekerjaan dan tidak menyalahkan mana-mana pihak yang tidak mahu mengambil mereka sebagai pekerja.

"Saya telah menjalani kehidupan di dalam penjara selama lima tahun atas kesalahan yang telah dilakukan. Sebelum ini, saya telah cuba mencari kerja di beberapa kedai, premis dan syarikat, namun semua permohonan ditolak kerana saya mempunyai rekod jenayah.

"Apabila kerajaan buat dasar ini, sedikit sebanyak mempermudah bekas banduan untuk mendapat pekerjaan. Kebanyakan bekas banduan ada kemahiran yang dipelajari ketika di dalam penjara, jadi bolehlah mereka gunakannya apabila bekerja nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peniaga, Fadhlina Rahman, 46, pula berkata, dasar satu peratus peluang pekerjaan yang diperluas kepada golongan warga emas dan bekas banduan itu dilihat sebagai satu inisiatif kerajaan yang sangat terpuji kerana ia dapat membantu golongan banduan khususnya kembali ke dalam masyarakat dan menjalani hidup normal.

"Kita yang masih muda dan tiada rekod jenayah pun susah hendak mencari pekerjaan zaman sekarang, inikan pula mereka. Jadi, apabila kerajaan buka peluang kepada golongan ini, ia dapat membantu mereka menjana ekonomi sendiri dan tidak perlu bergantung dan menagih ihsan daripada orang lain.

"Kadang-kadang mereka ini lagi ikhlas untuk mencari rezeki daripada kita. Jangan kerana mereka berusia atau pernah mempunyai kisah silam, mereka tidak diberi peluang untuk bekerja. Dengan tawaran kerja yang ada dapat juga mengelakkan mereka daripada melakukan kembali kegiatan tidak bermoral,” katanya.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan bahawa dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28