Warga emas tular pandu lawan arus, disyaki alami demensia

Tangkap layar video tular kereta yang dipandu warga emas melawan arus Kilometer 9, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam, pada awal pagi Jumaat.
Tangkap layar video tular kereta yang dipandu warga emas melawan arus Kilometer 9, Jalan Johor Bahru- Ayer Hitam, pada awal pagi Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita warga emas yang dikesan memandu kereta Honda Civic melawan arus di Kilometer 9, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, pada awal pagi Jumaat disyaki mempunyai masalah demensia.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, wanita berusia 75 tahun itu ditahan selepas hadir ke Balai Polis Iskandar Puteri pada Jumaat.

Menurut beliau, wanita tersebut diminta hadir ke balai polis untuk siasatan selepas video kereta yang dipandunya tular di media sosial.

"Satu rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan kejadian sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu dipandu secara melawan arus tular di aplikasi X.

"Kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2.50 pagi pada Jumaat. Suspek wanita hadir ke Balai Polis Iskandar Puteri sebelum ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat malam.

Mengulas lanjut, Belveer Singh berkata hasil soal siasat yang dilakukan mendapati wanita berkenaan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol sebaliknya disyaki mengalami demensia.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Artikel Berkaitan: