Bersih serah Memorandum Reformasi Pilihan Raya, Institusi kepada Anwar

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyampaikan memorandum kepada Anwar di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Rabu. - Foto: Bersih
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyampaikan memorandum kepada Anwar di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Rabu. - Foto: Bersih
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan Memorandum Reformasi Pilihan Raya dan Institusi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu pertemuan selama sejam di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu.

Antara 10 perincian memorandum reformasi institusi itu adalah mengenai lantikan ahli dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); menyahklasifikasi Laporan Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya; Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA); pendanaan politik serta persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Selain itu, pemisahan bidang kuasa peguam negara dan pendakwa raya; moratorium kepada pemberian DNAA (melepaskan tanpa membebaskan) oleh peguam negara dalam kes rasuah; memperkasa institusi Parlimen Malaysia melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dan meminda peraturan mesyuarat Dewan Rakyat; menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) demi kelangsungan kestabilan politik serta penggubalan akta peruntukan kawasan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata, Anwar merupakan perdana menteri pertama yang berjumpa dengan pimpinannya bagi membolehkan perbincangan dibuat bersama mengenai usaha melunaskan agenda Reformasi.

Malah menurutnya, memorandum kira-kira 30 muka surat terbabit turut dilampirkan 10 kertas terperinci mengenai cadangan hasil libat urus dan kajian Bersih dari 2018 bagi memperkukuh transisi demokrasi di negara ini.

“Memorandum tersebut merujuk kepada perkembangan mutakhir khususnya melibatkan penambahbaikan sistem tadbir urus negara yang masih perlahan.

“Antara latar isu yang berlegar sehingga meresahkan rakyat termasuklah pemberian DNAA (Melepaskan Tanpa Membebaskan) oleh peguam negara kepada pemimpin politik secara berleluasa merentas parti politik.

“Lebih utama, kebimbangan besar Bersih adalah sekiranya mandat rakyat yang berbaki lagi empat tahun untuk kerajaan sedia ada akan berlalu tanpa perubahan struktural positif membabitkan aspek pilihan raya, agenda melawan rasuah dan agenda reformasi institusi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Bersih mengadakan himpunan di luar bangunan Parlimen bagi mendesak kerajaan melaksanakan reformasi 100 peratus terutamanya melibatkan sistem pilihan raya dan institusi utama.

Dalam pada itu, pihaknya turut memaklumkan, jika rakyat semakin tidak percaya dengan kuasa undi dalam melakukan perubahan, sebahagian pengundi berkemungkinan menjadi sinis sehingga menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun ketika pilihan raya nanti.

Justeru menurut Bersih, sebagai entiti non-partisan, atas sebab tersebut pihaknya menggerakkan kempen #Reformasi100Peratus yang bertujuan mendesak tuntutan agenda reformasi diperjuangkan sejak sekian lama.

Tambahnya lagi, negara kini sedang menghadapi tempoh getir proses transisi pendemokrasian yang mewajibkan semua pihak untuk senada dalam merealisasikan kempen berkenaan demi mengembalikan keyakinan rakyat.

“Setelah 26 tahun perjuangan reformasi, pentadbiran Anwar mempunyai peluang keemasan untuk melaksanakannya dan mampu meninggalkan legasi reformasi yang melangkaui zaman ini.

“Beliau secara prinsip bersetuju dengan beberapa perkara, namun ada reformasi dirasakan perlu perbincangan lanjut.

“Sudah tiba masanya kerajaan merintis sebuah legasi besar dengan melunaskan agenda reformasi struktural melibatkan pilihan raya dan institusi serta menutup ruang rasuah juga penyalahgunaan kuasa,” ujar Bersih.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!