Isu Palestin: GSPP serah memorandum kepada MB Negeri Sembilan

Wakil NGO menyerahkan memorandum kepada Norazman (enam kanan).
Wakil NGO menyerahkan memorandum kepada Norazman (enam kanan).
A
A
A

SEREMBAN - Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) yang merupakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Negeri Sembilan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan berhubung isu peperangan Palestin-Israel.

Timbalan Pengerusi GSPP Negeri Sembilan, Jaafar Suradi berkata, memorandum itu sebagai usaha untuk membantu rakyat Palestin yang berjuang untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan Israel.

Menurutnya, turut disertakan dalam memorandum itu adalah sembilan tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri dan juga gesaan tindakan proaktif di peringkat kerajaan Negeri Sembilan.

“Kami sangat berharap Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan supaya mengambil langkah proaktif bagi menyemarakkan kempen kesedaran isu Palestin kepada masyarakat awam.

"Ia termasuk mengangkat sembilan tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan solidariti NGO ini kepada Perdana Menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sembilan tuntutan GSPP itu antaranya termasuklah menuntut agar kerajaan meneruskan dasar tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel.

GSPP juga menuntut kerajaan supaya tidak memenuhi apa-apa tuntutan atau desakan bagi menormalisasi sebarang bentuk hubungan dengan Israel, selain tidak mengiktiraf penyelesaian Two State Solution dan mengembalikan peta Palestin yang asal sebelum Deklarasi Balfour 1917.

Kerajaan juga digesa menolak rancangan Perjanjian Abad Ini (Deal of the Century) yang akan menjuruskan ke arah pembinaan Israel Raya.

Artikel Berkaitan:

GSPP turut menuntut kerajaan tidak sesekali memihak kepada blok barat seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain negara yang menyokong pembunuhan beramai-ramai, selain bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan blok Pro-Israel yang cuba menghalang apa-apa bentuk penzahiran solidariti kerajaan dan rakyat Malaysia kepada isu perjuangan pembebasan Palestin.

GSPP juga mahu segala sumbangan disampaikan secara telus kepada rakyat Palestin yang dizalimi di Gaza bukan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mempunyai persepakatan dengan Israel.

Menerusi memorandum itu juga, GSPP menuntut kerajaan supaya melobi dan mempengaruhi pendirian negara Islam serta badan antarabangsa berkaitan isu Palestin dengan memastikan sebarang rundingan atau persetujuan masa hadapan mestilah melibatkan gerakan pembebasan Palestin, bukan badan yang tidak mewakili majoriti rakyat Palestin.

Sementara itu ujar Jaafar, GSPP Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif menyediakan 25 penceramah khas untuk menyampaikan isu sebenar di sebalik peperangan Palestin dan Israel kepada masyarakat melalui institusi masjid, surau, sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat beli-belah dan pusat komuniti penduduk.

"Sehingga hari ini sebanyak 130 slot ceramah isu Palestin telah dapat dijalankan malah pada Jumaat, kami telah melancarkan kempen satu rumah satu bendera Palestin yang diadakan di Pasaraya Mydin Seremban 2 dalam program Waghih Bersama Palestin.

"Sekiranya tiada tindakan dan inisiatif yang tuntas dibuat sekarang, kita bimbang rakyat Palestin yang merupakan saudara seakidah, umat Islam akan terus dijajah, dizalimi dan ditindas oleh Israel," katanya.

Sebelum itu, Jaafar menyerah memorandum kepada Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohammad di Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri, Seremban.

Hadir sama, jawatankuasa GSPP Negeri Sembilan dan sebahagian daripada wakil pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia, Watan Kebajikan, Geng Ngaji, Aman Palestin, I-Guru dan pertubuhan Pajero Club Malaysia & Frenzz.