Rangka Tindakan Reformasi Ideas garis 13 keutamaan perbaharui institusi

Tricia (kiri) ketika melancarkan Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas bersama ahli Parlimen di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Tricia (kiri) ketika melancarkan Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas bersama ahli Parlimen di Bangunan Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) melancarkan Reformasi Institusi: Rangka Tindakan Reformasi yang menggariskan 13 bidang keutamaan dalam memperbaharui institusi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Dr Tricia Yeoh berkata, bidang keutamaan itu antaranya ialah menggubal semula Akta Perkhidmatan Parlimen, memperkasakan ahli Parlimen, mengawal selia Peruntukan Pembangunan Kawasan, memperkukuhkan Akta Kesalahan Pilihan Raya, menggubal Akta Pendanaan Politik dan mereformasi Proses Pelantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tricia menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Tricia menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Menurut beliau, selain itu memperkukuh kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menggubal Akta Ombudsman, Akta Pengisytiharan Harta, Akta Perolehan Kerajaan, Akta Kebebasan Maklumat dan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

"Salah satu cabaran utama yang Ideas hadapi dalam usaha kami untuk mendesak supaya diwujudkan Akta Pendanaan Politik adalah meletakkan reformasi kewangan politik di tengah-tengah inisiatif reformasi lain yang sangat diperlukan.

"Reformasi pendanaan politik tidak boleh dicapai secara berasingan kerana tiada reformasi berfungsi dalam ruang vakum. Banyak reformasi yang sebenarnya saling berkaitan, itulah sebabnya Rangka Tindakan ini sangat penting.

"Usaha reformasi lain mesti dilakukan secara serentak, jika mahukan Akta Pendanaan Politik itu bermakna dan memberi kesan," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Tricia (tengah) ketika melancarkan Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas bersama ahli Parlimen di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Tricia (tengah) ketika melancarkan Rangka Tindakan Reformasi Institusi Ideas bersama ahli Parlimen di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Dalam pada itu, menurut Tricia, rangka tindakan itu boleh menjadi rujukan berguna kepada kerajaan berikutan ia menyenaraikan cara mengutamakan reformasi institusi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ulasnya, rangka tindakan berkenaan juga membahagikan 13 reformasi itu kepada empat kategori tertentu iaitu sistem pilihan raya dan politik, pengawasan dan ketelusan kerajaan, Parlimen serta institusi bebas dan kuat.

"Kami amat mengesyorkan agar jabatan kerajaan yang berkaitan seperti Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengadakan perundingan yang bermakna dengan organisasi masyarakat sivil dan pakar lain untuk berkongsi pandangan mereka mengenai pelbagai reformasi institusi yang sedang dirancang.

"Secara khususnya, kami menyuarakan harapan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi akan terlibat dalam proses merangka dan meminda mana-mana undang-undang yang diperlukan dalam proses ini.

"Penglibatan JKPK adalah penting dalam memastikan kandungan pelbagai versi Akta Pendanaan Politik, yang memerlukan sokongan dwipartisan, dibandingkan antara satu sama lain," jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, inisiatif Ideas itu juga merupakan tawaran untuk pihak berkepentingan dalam melaksanakan demokrasi dengan satu proses yang berstruktur dan tersusun.

"Proses demokratik ini perlu diambil peranannya oleh semua rakyat Malaysia.

"Rasuah Busters sebagai gerakan rakyat berpandangan, di sini lah kita boleh membentuk satu modal sosial untuk memupuk satu budaya menolak rasuah dengan kerjasama semua pihak dan kita membina kembali kepercayaan kepada negara, tak kira sama ada dari rakyat atau pelabur asing," ulasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!