Suntikan HPV bantu kurangkan risiko kanser serviks

Wan Azizah ketika berucap pada pelancaran Program Vaksinasi HPV 'Leaving No One Behind' Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun pada Rabu.
Wan Azizah ketika berucap pada pelancaran Program Vaksinasi HPV 'Leaving No One Behind' Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Pengambilan suntikan vaksin 'Human Pappiloma Virus' (HPV) dalam kalangan wanita dapat membantu menoktahkan penyakit kanser serviks di negara ini.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pencegahan awal menerusi suntikan HPV boleh mengurangkan sehingga 90 peratus risiko kanser serviks.

"Kanser serviks adalah kanser ketiga paling kerap dalam kalangan wanita. Kira-kira 95 peratus daripada kanser serviks ini adalah disebabkan oleh jangkitan HPV selain boleh menyebabkan kanser-kanser lain seperti kanser pangkal hidung, kanser tonsil, kanser zakar dan kanser faraj.

"Sayangnya, bukan semua berpeluang mendapatkan khidmat vaksinasi ini. Realitinya masih terdapat jurang penjagaan kanser berlaku dalam mana-mana negara," katanya ketika berucap pada pelancaran Program Vaksinasi HPV 'Leaving No One Behind' Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun pada Rabu.

Program vaksinasi HPV merupakan program vaksinasi percuma yang sedang dijalankan di seluruh negara melibatkan pemvaksinan 300,000 dos vaksin bernilai RM90 juta.

Menurut Wan Azizah, program yang dijayakan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), ahli Parlimen, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti wanita dan remaja daripada kumpulan kurang berkemampuan serta kurang upaya.

Tambah beliau, kerjasama daripada semua pihak amat dititikberatkan untuk menyumbang tenaga menoktahkan kanser serviks dengan cara tersendiri.

"Contohnya, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dengan 16 syarikat ahlinya secara kolektif telah memberi sumbangan sebanyak RM3 juta kepada program vaksinasi HPV.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan penting ini bertujuan untuk menampung sebahagian kos pentadbiran sepanjang program vaksinasi ini dijalankan di seluruh negara.

"Jumlah sebenar yang diperlukan untuk menampung kos pentadbiran program HPV ini adalah sebanyak RM9 juta," katanya.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, program vaksinasi HPV wajar disokong sepenuhnya tanpa mengira latar belakang.

"Orang ramai juga boleh turut membantu merealisasikan impian ini dengan menyumbang secara terus kepada NCSM.

"Bagi yang berkemampuan tetapi masih belum mendapatkan vaksin HPV, bolehlah mendapatkannya atau membuat saringan kesihatan di tempat-tempat yang dikhususkan seperti NCSM," katanya.