Pekan Sehari Temerloh, MPT raih anugerah PSIA 2024

Suris (empat dari Kiri) bersama pasukan projek Amazing Pekan Sehari Temerloh yang meraih emas dan anugerah khas PSIA 2024.
Suris (empat dari Kiri) bersama pasukan projek Amazing Pekan Sehari Temerloh yang meraih emas dan anugerah khas PSIA 2024.
A
A
A

TEMERLOH - Keunikan dan pembaharuan yang dilakukan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di lokasi popular, Pekan Sehari Temerloh mendapat pengiktirafan di pameran inovasi Public Service Innovation Asia (PSIA) 2024 sempena Malaysia Teknologi Expo (MTE) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.

MPT meraih pingat emas bagi Projek Amazing Pekan Sehari Temerloh dalam kategori sosial/perniagaan, selain menerima Anugerah Khas Indonesian Invention And Innovation Promotion Association (INNOPA) daripada Indonesia bagi projek tersebut.

Kecemerlangan MPT diteruskan dengan pingat emas bagi Projek Daily E-Report-MPT's Enforcement Report (Digital Inovasi) dan perak bagi Projek Wakaf For Rider (Sosial Inovasi).

Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata, kejayaan itu amat membanggakan susulan ia penyertaan buat julung kalinya dalam PSIA.

"Sebenarnya ia juga satu kejutan dan kejayaan di luar jangkaan buat MPT kerana kita tidak meletakkan sasaran tinggi, namun ia hasil kerjasama serta sokongan padu semua pihak yang terlibat dalam menjayakan semua projek.

"Untuk Pekan Sehari Temerloh pula, inovasi yang dilakukan selepas pandemik antaranya transaksi tanpa tunai memberikan banyak impak positif," katanya.

Pekan Sehari Temerloh yang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar Pahang.
Pekan Sehari Temerloh yang menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar Pahang.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil penghargaan kepada semua pasukan terlibat di Bilik Mesyuarat Utama MPT pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan antaranya memanjangkan lokasi tumpuan itu daripada 2.1 ke 2.5 kilometer serta menambahkan lagi jumlah peniaga ke 705 berbanding 607 orang ketika ini yang dijangka akan dilakukan pada Mei depan.

Pekan Sehari Temerloh juga telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record (MBOR) pada Disember lalu dengan dua sijil iaitu Pasar Pagi Terpanjang Malaysia dan Bilangan Peniaga Pasar Pagi Terbanyak.

Terletak di tengah bandar Temerloh, lokasi popular itu beroperasi setiap Ahad kini berusia kira-kira 150 tahun mampu menarik kehadiran hingga 7,000 pengunjung sehari dari dalam dan luar Pahang.