Perak laksana Jualan Rahmah dua kali sebulan

Kah Leong ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan DUN Perak pada Rabu.
Kah Leong ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jualan Rahmah di Perak akan dilaksanakan dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen bermula tahun ini.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, jualan itu dilaksanakan menerusi tiga kaedah iaitu dalam premis (pasar raya), luar premis (kawasan terbuka) dan lori bergerak.

Menurutnya, pelaksanaan program oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak itu turut diperluas di kawasan luar bandar selari dengan saranan semua wakil rakyat bagi membolehkan warga kampung membeli barangan dengan harga yang lebih murah.

"Bagi memastikan mencapai matlamatnya, Jualan Rahmah tahun ini banyak bergerak dengan konsep 'Kedai/Lori Cari Rakyat'. Langkah ini supaya rakyat tidak perlu ke kawasan bandar untuk mendapatkan barangan keperluan asas tersebut," katanya ketika sesi penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, berdasarkan statistik KPDN Perak, sebanyak 508 Jualan Rahmah telah dilaksanakan tahun lalu dengan rekod jualan lebih RM18 juta yang memberi manfaat kepada 800,000 isi rumah.

"Bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 108 Jualan Rahmah telah dianjurkan di seluruh negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu memberitahu, kerajaan Perak tidak berhasrat menutup rumah ibadat gua kapur sedia ada di negeri ini.

Katanya, ketetapan itu bagaimanapun dengan syarat setiap tokong dan kuil itu dilengkapi dengan segala ciri keselamatan agar pengunjung memahami risiko di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, garis panduan yang lebih teliti dan terperinci akan dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Rumah Ibadat di dalam Gua Kapur dipanggil dalam masa terdekat ini.

"Sekitar Daerah Kinta ini terdapat banyak rumah ibadat gua kapur dan selama ini kurang diberikan perhatian terhadap aspek keselamatan.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan meraikan kepelbagaian agama, kerajaan tidak berniat untuk menutup rumah ibadat gua kapur sedia ada dan akan kekalkan kesemuanya, namun dengan syarat kena melengkapkan segala ciri keselamatan," katanya.

Wakil rakyat DAP itu turut memaklumkan, Kampung Baru Cina di negeri ini telah menerima peruntukan hampir RM30 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tahun lalu bagi tujuan pembangunan.

Katanya, peruntukan itu antaranya untuk pelbagai projek kemudahan asas, bina semula dan baik pulih rumah, pemasangan lampu solar di seluruh 160 kampung baru cina dalam negeri Perak.

"Saya mencadangkan Ahli-Ahli Yang Berhormat di sini bahawa sekiranya terdapat perkampungan yang tiada dalam senarai, sila kemukakan secara rasmi kepada pihak kerajaan untuk semakan dan penelitian kriteria untuk memastikan pengurusan kampung dapat diuruskan secara berkesan.

"Sejak 2016 terdapat enam kampung baru telah diperakui dan dikemaskini oleh Bahagian Kampung Baru Cina KPKT. Tahun ini, dua kampung baru yang baru sahaja diperakui ialah Kampung Cina Pangkor dan Kampung Sungai Pinang, Pangkor," katanya.