Naik taraf Hospital Kuala Kangsar siap 2026

Sivanesan semasa menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
Sivanesan semasa menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerja naik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar yang mendapat keprihatinan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dijangka siap pada Februari 2026.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, kerja-kerja pembinaan fizikal hospital itu telah dimulakan pada 16 Ogos tahun lalu dengan peruntukan lebih RM20 juta.

"Projek ini merangkumi pembinaan keseluruhan komponen dan keperluan Jabatan Kecemasan dan Trauma bersama penambahan peralatan perubatan dan bukan perubatan keperluan jabatan tersebut.

"Pelaksanan projek ini mampu menyelesaikan isu kesesakan di jabatan tersebut selain meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Kuala Kangsar dan penduduk sekitarnya," katanya menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Sivanesan berkata, Hospital Kuala Kangsar yang dibina pada tahun 1901 berjaya melaksanakan perluasan bagi enam perkhidmatan kepakaran sejak 2017 melibatkan disiplin kepakaran perubatan dalaman, pediatrik, perubatan kecemasan, radiologi, psikiatri dan rehabilitasi geriatrik.

Katanya, perancangan perluasan bagi lain-lain bidang kepakaran akan terus dirancang dan dilaksanakan secara berfasa mengikut ketersediaan sumber semasa.

"Semasa lawatan baginda ke Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 6 Februari lalu telah menitahkan untuk menyediakan Pakar Perubatan Dalaman yang terdiri daripada perkhidmatan Kepakaran Perubatan Dalaman (Internal Medicine) di Hospital Kuala Kangsar.

"Perkara ini dalam tindakan Bahagian Perkembangan Perubatan dan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan, pada masa ini terdapat 431 kakitangan bertugas di Hospital Kuala Kangsar termasuk 26 kakitangan kontrak manakala peratus pengisian perjawatan hakiki adalah 93 peratus.

"Hospital ini sentiasa berusaha meningkatkan jumlah pengisian perjawatan dari semasa ke semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kepada masyarakat setempat," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Sultan Perak menitahkan agar KKM memberi perhatian terhadap kerja-kerja naik taraf Hospital Kuala Kangsar sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 lalu.

Perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa menghadap baginda sempena Majlis Perasmian Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi HRPB di sini yang antara lain mahu KKM meneliti perkembangan projek tersebut dengan kadar segera.