Teguran, ingatan Agong perlu diambil serius

Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin. Foto Bernama
Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin lalu perlu diambil serius oleh semua pihak terutama ahli-ahli politik.

Antara teguran Seri Paduka ialah semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Negara perlu menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan ketika bersidang.

Sememangnya Dewan Negara dan Dewan Rakyat merupakan tempat persidangan yang mulia.

Sudah tentu setiap ahli Parlimen perlu menggunakan bahasa yang baik dan tidak memaki hamun kerana segala tingkah laku mereka diperhatikan rakyat.

Sultan Ibrahim memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Seri Paduka juga bertitah, tidak akan melayan permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan negara.

Dari segi tadbir urus kerajaan, Seri Paduka mahu kecekapan setiap agensi kerajaan sentiasa dinilai dan ditingkatkan bagi memastikan tiada red-tape atau karenah birokrasi.

Teguran dan peringatan Sultan Ibrahim pada ucapan sulung itu menyerlahkan fungsi dan peranan Seri Paduka sebagai ketua negara yang memayungi kepentingan rakyat dan memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara.

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

Titah yang ditulis sendiri oleh Seri Paduka itu mencerminkan harapan untuk melihat kestabilan politik di negara ini, demi memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Justeru, semua ahli politik tidak kira dalam kalangan kerajaan atau pembangkang perlu menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu dengan serius, serta saling bekerjasama demi masa depan negara.

Malah, Seri Paduka juga mengingatkan semua pihak agar memainkan peranan penting dan menjadi satu pasukan besar dalam pengurusan negara demi kepentingan masyarakat.

Semoga dengan titah Seri Paduka tersebut, semua pihak terutama wakil-wakil rakyat akan mengutamakan kebajikan rakyat dan ekonomi negara berbanding berpolitik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28