[VIDEO] Agong titah Ahli Parlimen digantung 14 hari jika tidak jaga adab

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sultan Ibrahim menitahkan semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.

Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, pada Isnin. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, pada Isnin. Foto Bernama

"Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.

"Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.

"Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada Isnin.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng; serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed. - Awani

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28