KPM laksana sesi libat urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara

Kah Woh berucap pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara Tahun 2024 di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Kah Woh berucap pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara Tahun 2024 di Hotel Tamu, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) laksana sesi libat urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) baharu.

Antara wakil yang menyertai sesi libat urus itu ialah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), pendidikan awal kanak-kanak, kumpulan pendidikan inklusif, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Seterusnya, ia turut melibatkan badan berkanun, persatuan keagamaan, institusi pendidikan swasta, universiti awam, universiti swasta dan pempengaruh pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penglibatan masyarakat daripada pelbagai latar belakang adalah untuk mengambil berat terhadap segala pandangan atau idea bagi memperkukuh PPPM akan datang.

Sesi libat urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara siri pertama melibatkan 100 peserta daripada pelbagai latar belakang.
Sesi libat urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara siri pertama melibatkan 100 peserta daripada pelbagai latar belakang.

“Dalam usaha tersebut KPM telah menggariskan empat fasa yang perlu dipatuhi sebelum membuat pelan pendidikan baharu.

“Kini kita telah melepasi fasa pertama iaitu KPM membuat analisis mengenai laporan prestasi PPPM 2013-2025. Kini, kita berada pada fasa kedua yang mana, kita akan adakan sesi libat urus dengan kesemua pemain industri, guru cemerlang, dekan fakulti dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara di Hotel Tamu di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Tambah Kah Woh, diharapkan sesi libat urus itu dapat mengenal pasti cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia bagi memberi tumpuan terhadap pendidikan manusiawi yang memartabatkan ilmu pengetahuan.

Menurutnya, ia juga dilaksana untuk menekankan aspek kemanusiaan yang seimbang dan berupaya memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara.

“Sesi libat urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara kali ini merupakan salah satu daripada lima siri jelajah yang akan dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh Februari sehingga Julai 2024.

“Seterusnya, ia akan diikuti dengan lima perbincangan kumpulan berfokus dan Town Hall dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Ogos sehingga Disember 2024,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28