Perkasa pelan pembangunan bakat muda golf

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan untuk menstruktur semula pelan pembangunan bakat muda golf untuk kesinambungan dalam melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan melihat kewajaran untuk menyediakan pusat latihan berpusat yang boleh digunakan pemain muda serta senior untuk berkongsi kepakaran masing-masing.

Hannah berkata, cetusan idea berkenaan adalah menerusi pertemuan tertutup bersama enam pemain golf negara yang sedang beraksi dalam Kejohanan Golf Maybank 2023 iaitu Alyaa Abdulghany, Jeneath Wong, Ashley Lau, Natasha Andrea Oon, Jing Xuen Ng dan Kelly Tan di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Semasa perbualan dengan pemain-pemain kita, mereka tidak meminta untuk diri mereka tetapi mereka mohon supaya kem pembangunan sukan kebangsaan digerakkan semula bagi membantu ahli sukan perempuan berlatih bersama-sama supaya mereka mempunyai masa untuk bergaul dan belajar.

“Kami juga mahu melihat cara untuk mendekatkan lagi hubungan kerana kebanyakan pemain golf negara berpangkalan di seberang laut. Kita menang pingat emas di Sukan SEA tahun ini di Kemboja, jadi kita harus meneruskan pembangunan sukan ini,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sementara itu, Hannah turut mengumumkan Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM1 juta untuk edisi sulung Kejohanan Golf Maybank 2023 yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Oktober, yang juga merupakan salah satu kejohanan di bawah Jelajah Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA) musim ini.

Hannah berharap lebih banyak persatuan sukan akan mendapat manfaat pada tahun depan, apabila Belanjawan 2024 yang memperuntukkan tambahan RM50 juta GPS terus menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi di negara ini.

“Apa yang kami harap untuk lakukan tahun depan ialah untuk mengkaji bagaimana kami boleh meneruskan penggunaan geran sepadan itu. Tahun ini kami diberikan RM40 juta untuk menyokong acara-acara seperti ini dan kami menerima 924 permohonan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi tahun hadapan, sebaik sahaja belanjawan diluluskan, kami akan ada RM50 juta. Diharap sekarang kesemua persatuan sukan memahami bagaimana geran ini diagihkan dan akan menghantar permohonan mereka awal dan mendapatkan kelulusan awal daripada badan antarabangsa untuk menganjurkan acara di sini,” katanya.

Kejohanan Golf Maybank bernilai AS$3 juta (RM14.34 juta) menampilkan 78 pemain termasuk 10 dari Malaysia dan negara ASEAN. - Bernama