[VIDEO] 'Macam dalam reban'

A
A
A

KUALA LANGAT - Daif, sempit dan panas, begitulah keadaan penempatan pekerja asing di sebuah kilang besi di Banting di sini.

Keadaan itu dikesan menerusi Operasi Bersepadu Mega Gegar atau Ops Gegar oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama beberapa agensi lain, termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, pada Selasa.

Ketua Pengarah JTKSM, Kamal Pardi berkata, pihaknya melihat penempatan pekerja asing yang disediakan oleh majikan tersebut agak daif.

"Selain itu, keadaan penempatan itu sempit dan panas, sebahagian peralatan seperti kipas, tilam dan katil pula dibeli oleh pekerja. Kalau ikut undang-undang perkara tersebut wajib disediakan oleh majikan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Kamal berkata, pihaknya turut membuat pemeriksaan di dua buah kilang lain di sini yang turut menyediakan penempatan pekerja asing.

Keadaan penempatan pekerja asing di sebuah kilang pembuatan perabot.
Keadaan penempatan pekerja asing di sebuah kilang pembuatan perabot.

"Hasil serbuan dan juga pemeriksaan yang dilakukan, majikan tersebut didapati menggajikan tenaga kerja asing tetapi tidak menyediakan penginapan yang kondusif dan tidak mempunyai perakuan penginapan daripada JTKSM.

"Semakan yang dibuat juga mendapati majikan tiada usaha untuk membuat sebarang permohonan bagi mendapatkan perakuan tersebut, ia jelas melanggar perundangan perburuhan dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kamal berkata, pihaknya merekodkan seramai 593,600 pekerja asing yang berdaftar dan digajikan majikan dalam pelbagai sektor di Selangor.

Kamal sedang menyoal siasat salah seorang pekerja asing ketika pemeriksaan dalam Ops Gegar di sebuah kilang pembuatan perabot pada Selasa.
Kamal sedang menyoal siasat salah seorang pekerja asing ketika pemeriksaan dalam Ops Gegar di sebuah kilang pembuatan perabot pada Selasa.

"Daripada jumlah itu, hanya seramai 140,000 pekerja asing yang ada perakuan penginapan.

"Manakala 453,000 pekerja asing belum memohon perakuan penginapan daripada JTKSM di Selangor,” katanya.

Kamal berkata, pemeriksaan dilakukan mengikut Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] dan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 iaitu Perintah Gaji Minimum.

“Kita akan lihat juga kepada gaji minimum. Ketika ini gaji minimum yang ditetapkan ialah RM1,500. Saya lihat slip bayaran gaji tak sampai RM1,500 tapi hanya RM1,400.

“Kita akan dapatkan maklumat daripada majikan kenapa tidak dapat memberi gaji minimum, sama ada potongan dia tak datang kerja atau bagaimana,” katanya.

Kamal berkata, JTKSM melaksanakan Ops Gegar itu secara serentak di Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Labuan pada Selasa dan Rabu.

"Secara keseluruhan, operasi yang dilaksanakan pada hari ini ke atas 33 buah premis pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor termasuklah pembuatan, pembinaan dan juga perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, Ops Gegar itu memfokuskan kepada pelanggaran perundangan perburuhan.

"Kesemua premis pekerjaan yang diperiksa melibatkan hampir 800 pekerja tempatan dan 1,150 pekerja asing.

"Sebanyak 57 kertas siasatan akan dibuka ke atas majikan yang terlibat," ujarnya.

Kamal berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan akan terus mempergiatkan pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan mengikut perundangan yang diperuntukkan di bawah jabatan dan agensi masing-masing.

"Penguatkuasaan berterusan dan bersepadu ini amat perlu dan penting sebagai antara langkah proaktif jabatan dalam membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan.

"Selain itu, penguatkuasaan ini juga akan dilakukan secara konsisten demi memastikan kebajikan para pekerja dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28