Bekas CEO dituduh pindah RM116 juta

Seorang bekas CEO sebuah syarikat pelaburan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin, atas dua pertuduhan memindahkan wang RM116 juta kepada sebuah syarikat yang melakukan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.
Seorang bekas CEO sebuah syarikat pelaburan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin, atas dua pertuduhan memindahkan wang RM116 juta kepada sebuah syarikat yang melakukan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan memindahkan wang RM116 juta kepada sebuah syarikat yang melakukan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Syaiful Riezal Ahmad, 51, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM116,292,904.15 dari akaun semasa Affin Bank milik syarikat itu ke akaun semasa CIMB bank milik syarikat lain.

Ia bagi melanjutkan perlakuan salah, yang telah menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat itu bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan tidak berdaftar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Petaling Jaya antara 1 Disember 2020 dan 28 Julai 2022 dan Alliance Bank Malaysia Berhad Cawangan SS2, daerah sama, antara 12 Ogos dan 11 Oktober 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, dibaca bersama perenggan 370(b) dan subseksyen 367(1) akta sama, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta sama.

Ia membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang bekas pengarah syarikat, Ang Jen Chuen, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Sains Selangor di Petaling Jaya, antara 15 Disember 2020 dan 15 Julai 2022 mengikut subseksyen yang sama.

Mahkamah membenarkan Syaiful Riezal diikat jamin RM100,000 manakala Jen Chuen, RM10,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan bagi kedua-dua kes.

Pendakwaan dalam kes ini, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Muhammad Izzat Fauzan.

Syaiful Riezal diwakili peguam, Md Yunos Shariff sementara Jen Chuen, tidak diwakili peguam.

Pada 10 Januari lalu, Syaiful Riezal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM2 juta manakala Jen Chuen atas lapan kes sama membabitkan lebih RM116 juta.

Di Mahkamah Sesyen berasingan pula, seorang lagi bekas pengarah syarikat, Chin Wai Lan, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara 15 Julai dan 31 Ogos 2022 mengikut subseksyen sama.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin.

"Ia termasuk syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sebulan sekali," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Wai Lan, memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini.

Hakim, Azrul Darus menolak permohonan itu dan menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Pada 11 Januari lalu, Wai Lan didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, atas 17 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM160 juta.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28