Ameen Amaendran dilantik Ketua Pegawai Eksekutif redONE

Ameen Amaendran
Ameen Amaendran
A
A
A

KUALA LUMPUR - redONE Network Sdn Bhd (redONE) mengumumkan pelantikan Ameen Amaendran Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu untuk Malaysia.

redONE dalam satu kenyataan berkata, Ameen Amaendran menggantikan Farid Yunus yang dilantik semula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan redONE Holdings.

Menurutnya, pelantikan tersebut menjadi tugasan kedua Ameen di syarikat berkenaan setelah dipinjamkan oleh CelcomDigi selama setahun pada Februari 2016.

“Ameen mempunyai banyak pengalaman melalui penglibatan beliau dalam industri telekomunikasi sejak 22 tahun lalu dan telah memegang pelbagai peranan dalam dua pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Malaysia.

“Sejak 2018, Ameen dipinjamkan oleh CelcomDigi kepada Operator Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) tempatan lain. Beliau berjaya mengubah perniagaan tersebut yang mengalami kerugian kepada menjana keuntungan lapan angka setiap tahun,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Ameen dalam responsnya menyatakan kesediaan untuk membantu bahagian pasaran syarikat itu dalam segmen prabayar.

“Saya tidak sabar untuk kembali ke redONE, terutamanya untuk membantu mengembangkan bahagian pasaran mereka dalam segmen prabayar.

“Sebagai satu-satunya MVNO pascabayar di Malaysia dengan lebih sejuta pelanggan, redONE mempunyai peluang pertumbuhan yang ketara dengan prabayar,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain menawarkan perkhidmatan mudah alih pascabayar dan prabayar, redONE juga menceburkan diri dalam pembiayaan mikro menerusi pelancaran redCASH awal tahun ini yang menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 kepada pelanggan sedia ada.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuk insurans (redCARE) dan barangan elektronik (redMALL). Untuk melanggan, pelanggan boleh mengunjungi rakan-rakan niaga redONE di seluruh negara atau mendaftar sendiri di redone.com.my atau menerusi aplikasi mudah alih.