Sungai, tali air paling banyak insiden lemas - JBPM

Nor Hisham (tengah) pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Terengganu pada Isnin.
Nor Hisham (tengah) pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sejumlah 325 panggilan mencari dan menyelamat bagi kes lemas di air pada tahun lepas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, insiden kes lemas di kawasan sungai dan tali air paling tinggi dicatatkan iaitu sebanyak 185 kes.

"Trend insiden kes lemas juga amat membimbangkan selain tidak menunjukkan penurunan yang ketara. Panggilan mencari dan menyelamat bagi kes lemas di air yang diterima pada tahun lepas adalah 325 kes berbanding 290 kes pada 2022.

"Ini merupakan cabaran utama kita untuk mengambil langkah sewajarnya dengan memberi pendidikan awal kepada masyarakat serta pelajar di sekolah mengenai kepentingan memiliki asas berenang dan juga keupayaan menjangka kawasan-kawasan bahaya tidak terduga.

"Selain itu, kepentingan mengadakan kerjasama dengan masyarakat yang boleh memaklumkan pada kita berhubung kegiatan berbahaya dilakukan orang awam termasuk mandi di kawasan berisiko sekali gus kita akan terus ke lokasi kejadian untuk memberi peringatan kepada mereka supaya tidak melakukan perbuatan sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, keseluruhan panggilan mencari dan menyelamat insiden lemas di air direkodkan di Terengganu adalah sebanyak 23 kes pada 2023 berbanding 24 kes pada 2022.

Beliau memaklumkan, JBPM Terengganu telah mengenal pasti lokasi-lokasi 'hotspot' yang sering berlaku insiden lemas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lokasi yang dikesan di Terengganu antaranya Pantai Batu Buruk, Pusat Rekreasi Lata Tembakah, Besut; Hutan Simpan Hulu Paka, Air Terjun Tasik Puteri, Pantai Kekabu di Marang serta Kampung Baru Penarik di Setiu.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif yang lebih agresif dengan menggerakkan Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) untuk melaksanakan kempen kesedaran berkaitan langkah keselamatan di air.

"Kita turut meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan perkelahan pada cuti sekolah dan cuti hujung minggu seperti di taman tema air, sungai, pantai dan kawasan perkelahan air terjun.

"Pendekatan kita dengan mengeluarkan arahan untuk meningkatkan rondaan di semua lokasi riadah dan kawasan 'hotspot' yang telah dikenal pasti di seluruh negara," jelasnya.