MWC2024 bantu tingkat kadar penerima 5G negara - FAHMI

Fahmi
Fahmi
A
A
A

BARCELONA - Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC2024) akan digunakan sebagai platform bagi membantu usaha kerajaan meningkatkan lagi kadar penerima penggunaan teknologi 5G dalam kalangan rakyat, terutama dari sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, hal ini menjadi antara keutamaan beliau dalam kongres berkenaan, selain bagi mengetengahkan kejayaan Kerajaan Madani dalam pelaksanaan 5G yang menyaksikan kadar liputan dalam negara mencapai 80.2 peratus setakat Disember 2023, manakala kadar penerima penggunaan mencecah 29.9 peratus setakat Januari lepas.

"Malam tadi kita telah adakan pertemuan dengan Ericsson, pagi ini ZTE dan dalam hari-hari akan datang kita akan saksikan (pemeteraian) perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat telekomunikasi dengan penyedia peralatan telekomunikasi.

"Kita akan lihat bagaimana kita boleh bekerjasama sekali dengan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk tingkatkan lagi penggunaan 5G dalam kalangan PMKS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM ketika ditemui di sini. Fahmi berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke MWC 2024 dan dijadual menyampaikan ucaptama bagi merasmikan Pavilion Malaysia di kongres itu, esok.

MWC 2024 merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang bakal mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.

Selain syarikat telekomunikasi, Pavilion Malaysia yang diketuai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan mempamerkan reruai daripada agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan CyberSecurity Malaysia.

Fahmi berkata, forum seperti MWC ini akan menyajikan pelbagai teknologi dan peralatan baharu yang mampu membantu usaha pelaksanaan 5G dalam negara sekiranya boleh disesuai manfaatkan dengan keadaan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kita maklum yang dalam era pendigitalan banyak teknologi baharu yang sedang dirangka tetapi belum dilaksanakan lagi, jadi melalui forum seperti MWC ini kita akan dapat saksikan beberapa teknologi baharu dan peralatan baharu tetapi perlu kita sesuaikan dengan kerangka kawal selia di Malaysia melalui MCMC dan juga tahap penerima penggunaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ketika ini, sememangnya syarikat telekomunikasi seperti ZTE ada mengadakan hubungan strategik dengan universiti tempatan dan DNB untuk melihat pencapaian penggunaan 5G dalam negara.

"Isunya bukan dari segi makmal tetapi penggunaan dunia sebenar, ini yang saya nampak perkara yang kita perlu beri keutamaan.

"Perkara yang saya banyak bincang dengan syarikat-syarikat ini ialah mungkin berkenaan model-model perniagaan baharu, yang membantu syarikat untuk memiliki dan menggunakan teknologi 5G dan seterusnya," katanya. - Bernama