Mobile Truck WoW bantu tingkat kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan

Mobile Truck WoW menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan bagi menterjemah pengetahuan kepada budaya hidup sihat.- Foto sumber KKM
Mobile Truck WoW menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan bagi menterjemah pengetahuan kepada budaya hidup sihat.- Foto sumber KKM
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan Mobile Truck Wellness on Wheel (WoW) dapat membantu meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar khusus ke arah usaha melahirkan masyarakat yang celik kesihatan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, kerajaan akan menggunakan konsep turun padang bagi memberikan perkhidmatan terbaik dan rakyat akan mendapat manfaat dari perkhidmatan itu.

“Mobile Truck WoW ini menyediakan perkhidmatan secara komprehensif dan interaktif merangkumi konsultasi, saringan kesihatan, khidmat nasihat berhenti merokok, pengurusan berat badan dan pameran interaktif yang merangkumi maklumat kesihatan, pembinaan kemahiran bagi menterjemah pengetahuan kepada budaya hidup sihat.

“Kumpulan sasar utama bagi perkhidmatan Mobile Truck WoW ini adalah untuk semua peringkat umur dalam komuniti atau masyarakat iaitu kanak-kanak hingga ke warga emas,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (kiri) melakukan perkhidmatan saringan kesihatan kepada warga emas, salah seorang daripada kumpulan sasar Mobile Truck WoW. - Foto sumber KKM
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (kiri) melakukan perkhidmatan saringan kesihatan kepada warga emas, salah seorang daripada kumpulan sasar Mobile Truck WoW. - Foto sumber KKM

Menurut kenyataan itu, penggunaan Mobile Truck WoW mempunyai akses untuk mendidik komuniti melalui pelbagai aktiviti.

"Ia secara tidak langsung boleh mendidik masyarakat untuk perubahan tingkah laku yang turut menyumbang kepada pengurangan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) terus meningkat di Malaysia, antaranya diabetes, hipertensi, hiperkolesterolemia, masalah berat badan dan obes.

“WoW juga dapat membantu memastikan golongan muda yang mana peratus tidak didiagnosis lebih tinggi dan juga komuniti di kawasan pedalaman untuk menjalani saringan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, KKM mempunyai 19 buah Mobile Truck WoW yang telah diagih dan beroperasi di ibu pejabat dan setiap negeri,” menurutnya.

Ujar kenyataan berkenaan, dengan kapasiti 19 unit Mobile Truck WoW pada 2022, inisiatif tersebut telah melaksanakan aktiviti kesejahteraan kesihatan di 623 lokaliti melibatkan penyertaan seramai 388,374 penerima manfaat.

Jelasnya, aktiviti melibatkan Mobile Truck WoW akan dilaksanakan secara lawatan berjadual ke lokasi seperti sekolah atau institusi pengajian, komuniti setempat, tempat kerja, tempat ibadat serta kawasan tumpuan ramai seperti taman rekreasi, pusat membeli-belah dan pasar.

“Mobile Truck WoW juga terlibat dalam program-program kesihatan seperti kem kesihatan, karnival, Sambutan Hari-Hari Khas Kesihatan, Hari Sukan Negara serta program anjuran kementerian atau jabatan yang lain.

“Perkhidmatan Mobile Truck WoW ini selaras dengan pendekatan Malaysia Madani melalui teras ihsan dan kesejahteraan yang melibatkan dua hala antara kerajaan serta rakyat.

“Saksikan Mobile Truck Wellness on Wheel di Paya Redan, Ayer Molek, Melaka sempena Majlis Pelancaran Kembara Wellness on Wheel (WoW) dan Madani Afiat Peringkat Negeri Melaka 2023 pada 28 Oktober 2023 bermula pukul 7 pagi,” jelasnya.