Nelayan asing tangkap ikan di zon larangan ditahan

Sebuah bot nelayan dikendalikan tekong serta kru warga Myanmar ditahan dipercayai menangkap ikan di zon larangan berdekatan perairan Pulau Pintu Gedong di Klang pada Ahad. Tekong serta kru bot terbabit turut ditahan setelah didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Sebuah bot nelayan dikendalikan tekong serta kru warga Myanmar ditahan dipercayai menangkap ikan di zon larangan berdekatan perairan Pulau Pintu Gedong di Klang pada Ahad. Tekong serta kru bot terbabit turut ditahan setelah didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
A
A
A

KLANG - Sebuah bot nelayan dikendalikan tekong serta kru warga Myanmar ditahan dipercayai menangkap ikan di zon larangan di 13.2 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong di sini pada Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot nelayan kelas C berkenaan dikesan Kapal Maritim (KM) Danga ketika melakukan rondaan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0 di lokasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong warga Myanmar berusia antara 26 hingga 45 tahun.

"Semakan dijalankan turut mendapati kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, bot nelayan terbabit dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah.

"Bot terbabit kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing dan menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai," katanya.

Menurutnya, aktiviti perikanan kurang 15 batu nautika dari pantai oleh bot kelas C boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem.

Artikel Berkaitan:

Bot nelayan kelas C ini dikesan KM Danga ketika melakukan rondaan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0.
Bot nelayan kelas C ini dikesan KM Danga ketika melakukan rondaan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0.

"Kegiatan ini turut mengganggu mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen serta peraturan ditetapkan," katanya.

Abdul Muhaimin berkata, pihaknya sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang perairan negeri ini.

"Operasi dan penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang yang ditetapkan.

"Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28