Dicekup ketika leka 'tarik tepi' di zon larangan

Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru yang kesemuanya warga Thailand ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda ikan di zon larangan. - Foto Maritim Malaysia
Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru yang kesemuanya warga Thailand ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda ikan di zon larangan. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis kerana melakukan aktiviti menunda (tarik tepi) di zon larangan perikanan, di sini pada Isnin.

Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru yang kesemuanya warga Thailand ketika sedang leka melakukan aktiviti tersebut di kedudukan kira-kira 8 batu nautika barat Tanjung Cincin di sekitar jam 3.00 petang.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

"Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kilogram (kg) telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Romli berkata, kegiatan tarik tepi sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak 15 batu nautika dari pantai.

Jelasnya, aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan: