Terlibat dalam Pendapat Nasihat ICJ, bukti Malaysia perjuang nasib Palestin

Orang ramai berkumpul di hadapan sebuah bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Xinhua (Gambar kecil: Mohd Hakim)
Orang ramai berkumpul di hadapan sebuah bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Xinhua (Gambar kecil: Mohd Hakim)
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Malaysia dalam menyampaikan kenyataan lisan di Peace Palace, The Hague, Belanda berhubung isu Palestin membuktikan bahawa negara sentiasa memperjuangkan nasib rakyat berkenaan daripada terus menjadi korban rejim Zionis.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, usaha itu secara tidak langsung menunjukkan Malaysia tidak berbelah bahagi dalam menyuarakan hak rakyat Palestin yang patut menjadi perjuangan negara lain.

“Walaupun Malaysia sebuah negara kecil, tetapi penglibatan ini membuktikan bahawa negara sentiasa memberi sokongan terus terhadap Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar Israel tidak lagi menduduki wilayah Palestin.

“Bukan itu sahaja, ia juga turut menjadikan Malaysia semakin relevan untuk menjadi komuniti antarabangsa dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berada di The Hague untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ berhubung isu Palestin.

Mohamad mengetuai delegasi Malaysia berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Pada masa sama, Mohd Hakim berharap agar usaha Malaysia itu dapat memberi tekanan keras kepada negara-negara barat yang tidak memandang serius terhadap kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin.

“Kami percaya bahawa kesannya begitu positif terhadap Malaysia khususnya dalam profil di peringkat antarabangsa. Ia menunjukkan ketegasan negara dalam menangani hal berkaitan keadilan.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga memberi satu signal bahawa Malaysia sebagai salah satu pemimpin dalam blok negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani isu-isu berkaitan nasib umat Islam,” ujar beliau.

Jelas Mohd Hakim, kesan penglibatan itu juga boleh membawa kepada pengiktirafan negara untuk mengetuai isu-isu global pada masa akan datang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28