Malaysia perlu lantang perjuang nasib Palestin - Hadi Awang

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia wajar menjadi pihak yang lantang mendesak Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) susulan penindasan terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.

Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegaskan, kerajaan perlu tegas dan berterusan memperjuangkan nasib rakyat Palestin supaya rejim Zionis dan yang terlibat diadili sewajarnya.

"Saya minta kerajaan Malaysia mesti ke hadapan, tegas dan bertindak berani walaupun (negara) kita kecil, berani kerana benar.

“Desak supaya mereka yang terbabit dalam keganasan Israel dan sekutunya dihadapkan ke ICJ. Ini sangat penting dan mesti dilakukan bersungguh-sungguh," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menuntut kerajaan turut tegas membela undang-undang syariah dan hukum ditetapkan Islam supaya tidak dicabar mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sekiranya kerajaan tidak bertindak sewajarnya, Perikatan Nasional (PN) akan melakukan tugas berkenaan.

"Saya beri amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ini (tindakan mencabar undang-undang syariah) menyentuh umat Islam, ALLAH dan institusi diraja.

"Kalau PH tidak mahu bertindak, kami (PN) akan bertindak. Bagaimana kami mahu bertindak, tunggu dan lihat. (Dalam) keadaan munasabah, kalau nak bawa ke mahkamah atau ke mana pun kita pergi, sehingga berjaya mempertahan kedaulatan syariat ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan bermakna kita menafikan hak bukan Islam, sebab kebebasan agama lain dijamin dalam Perlembangaan dan ia dipersetujui semua pihak yang terbabit dalam kemerdekaan dahulu," jelasnya.