Penerbangan ihsan bawa organ dari Hospital Melaka ke HKL

Helikopter Unit Udara Bomba digunakan untuk penerbangan ihsan membawa organ untuk penerima dari Melaka ke Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
Helikopter Unit Udara Bomba digunakan untuk penerbangan ihsan membawa organ untuk penerima dari Melaka ke Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa organ penderma yang meninggal dunia di Hospital Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, pada Ahad.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara JBPM, Penguasa Kanan Bomba I Kapten Roslan Aziz berkata, operasi itu berikutan Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur telah menerima satu kes rujukan pendermaan organ dari Hospital Melaka.

"Keluarga kepada seorang pesakit yang telah disahkan mati otak (brain death) bermurah hati ingin mendermakan organ jantung kepada pesakit yang memerlukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Roslan berkata, sehubungan itu, sebuah helikopter Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS) telah diaturgerak pada jam 7.15 pagi pagi tadi, dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM, Subang.

"Operasi penerbangan membawa organ itu dari Lapangan terbang Melaka dan selamat mendarat di Hospital Kuala Lumpur pada jam 8.35 pagi tadi," katanya.

Roslan berkata, beliau mengetuai penerbangan itu bersama pembantu juruterbang Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Sulaiman dan Kuatermaster Udara, Pegawai Bomba, Shazmi Ishak.

"Penerbangan ini juga turut disertai oleh tiga pegawai perubatan yang diketuai oleh Pakar Perunding Kardiotorasik dan Vaskular Hospital Melaka, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib," katanya.

Mengulas lanjut Roslan berkata, pemindahan organ itu merupakan salah satu daripada perkhidmatan perubatan yang sering dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, selain pemindahan pesakit dan bantuan logistik perubatan lain.

Artikel Berkaitan:

"Operasi pemindahan organ merupakan salah satu operasi kritikal yang memerlukan perancangan rapi dan tersusun, di mana ia perlu mematuhi tempoh jangka masa yang ditetapkan oleh pasukan perubatan.

"Ia bagi memastikan organ yang dipindahkan dapat digunakan oleh penerima sebaik tiba di hospital. Sebarang kelewatan dan kesilapan boleh memberikan kesan kepada status organ tersebut malah melibatkan risiko tinggi semasa pembedahan pemindahan kepada penerima," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28